Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita kerugian wang RM31,638.85 selepas  menggunakan e-mel palsu dalam urusan pembayaran saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Selangor Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian itu berlaku selepas wanita berusia 37 tahun itu mendakwa menerima satu e-mel dari [email protected] yang dihantar kepadanya kononnya mangsa mempunyai satu rekod saman PDRM.

“E-mel disyaki palsu itu juga menyertakan portal rasmi MyBayar PDRM di pautan https://mybayar.rmp.gov.my untuk mngsa membuat semakan.

“Mangsa yang terpedaya kemudian telah membuat semakan melalui portal rasmi PDRM tersebut dan mendapati terdapat satu saman PDRM atas kenderaan mangsa dan e-mel palsu itu juga memberi amaran kepada mangsa untuk segera membuat bayaran dan tindakan lanjut akan diambil jika gagal.

“Malah, siasatan mendapati e-mel palsu itu juga menyertakan satu laman My Bayar PDRM [email protected] untuk mangsa membyat bayaran secara online ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, mangsa yang bimbang dan terpedaya dengan amaran itu telah menekan pautan Go to Page Payment  sebelum dibawa masuk ke laman MyBayar PDRM iaitu My Bayar PDRM yang sebenarnya adalah palsu.

Mangsa telah mengisi butir-butir perbankan iaitu username, password dan nombor One Time Password (OTP) ke dalam borang yang disediakan dalam pautan palsu itu untuk membuat bayaran saman RM50.

Katanya, setelah mangsa memasukkan butiran perbankan peribadinya daam pautan palsu itu, terpapar mesej di skrin bahawa bayaran itu gagal dengan skrin laman web palsu itu menyatakan nombor kod khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima adalah tidak sah.

“Mangsa tidak menyedari sebenarnya pihak scammer telah memperolehi butiran
rahsia perbankan mangsa melalui pautan palsu itu sehingga membolehkan scammer berkenaan memindahkan wang mangsa secara dalam talian ke akaun bank lain.

“Mangsa kemudian telah menerima panggilan daripada pihak bank yang menyatakan  wang dari akaun mangsa telah dipindahkan sebanyak tiga kali dalam masa singkat ke dalam akaun bank lain berjumlah RM31,638.85.

“Mangsa barulah menyedari telah tertipu dalam urusan bayaran saman trafik PDRM itu,” katanya.

Sehubungan itu, Hussein menasihatkan orang ramai agar tidak melayan sebarang e-mel yang dikatakan dari PDRM untuk membayar saman kerana polis tidak menggunakan e-mel untuk berhubung dengan orang ramai dalam urusan bayar saman.

“Sebelum ini, pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM juga eprnah mengeluarkan amaran melalui laman facebook berkaitan sindiket penipuan ini yang bertajuk Hebahan Amaran Scam: Waspada Hantaran e-mel PDRM Mengenai Tawaran Kompaun Saman Sebagai Taktik Sindiket Penipuan.

“Selain itu, paling penting jangan sesekali mendedahkan atau berkongsi sebarang butiran rahsia perbankan sepertinama pengguna dan kata kunci serta OTP atau Transaction Authorisation Code (TAC) kepada mana-mana orang tidak dikenali, laman web atau aplikasi meragukan,” tegas beliau lagi.- MalaysiaGazette