MELAKA – Seorang pengawal keselamatan Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh, di sini, direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pecah masuk pejabat dan mencuri wang, Selasa lalu.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 25 tahun itu dikeluarkan Majistret Mazana Sinin sehingga Rabu ini bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi memakai pakaian lokap berwarna jingga.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek baru dua bulan bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh.
Menurutnya, pihaknya menerima laporan kejadian itu dibuat kerani Pejabat Tanggungjawab (PTJ) kompleks itu Selasa lalu, apabila wang tunai berjumlah RM835 disimpannya hilang ketika memeriksa peti tunai di pejabat.
“Seterusnya pengadu membuat pemeriksaan di pejabat sebelum mendapati terdapat kesan pecah masuk di bahagian tingkap.
“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah kemudian menjalankan siasatan dan menahan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di pekarangan kompleks itu pukul 12.30 tengah hari semalam,” katanya.
Tambahnya, polis turut merampas pakaian kerana dipercayai terbabit dengan kes yang disiasat.
“Hasil soal siasat, suspek yang baru dua bulan bekerja di mahkamah mengaku terbabit kes itu serta kes pecah masuk kafe mahkamah dan menghabiskan wang itu untuk kegunaan sendiri termasuk membeli minuman keras.
“Suspek memecah masuk pejabat dengan menarik tingkap hingga terbuka dan tiada senjata digunakan. Ujian saringan air kencing didapat negatif dadah selain tiada rekod jenayah,” katanya. – MalaysiaGazette