Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR – Kerajaan hanya memiliki tempoh dua tahun setengah bagi memastikan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan memberi kesan sepenuhnya kepada rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebab itu pelaksanaan RMK12 adalah secara menyeluruh tanpa meminggirkan mana-mana negeri.

Jelas beliau, RMK12 turut tidak meminggirkan Sabah dan Sarawak, selain memberi tumpuan lebih kepada kawasan di luar bandar.

“Semuanya akan terkait dalam soal pelaksanaan dan tentutnya pelaksanaan memerlukan kecekapan dan pencapaian perkhidmatan awam.

“Kita punya tempoh dua tahun setengah untuk keberkesanan ini dirasai kepada rakyat, bukan saja keberkesanan secara fizikal tapi juga spiritual, batin.

“Banyak bajet dikeluarkan selepas merdeka. Ramai dapat kebahagian fizikal, tapi kurang kebahagiaan spiritual,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bergambar bersama dokumen Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 (RMK12) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 11 SEPTEMBER 2023.

Beliau mengulas pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK12 oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Ia merupakan pembentangan pertama selepas Kerajaan Perpaduan menerajui negara.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, Sabah dan Sarawak juga turut diberi perhatian kerajaan dalam hal ini dan tidak hanya terhad kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya juga melihat bahawa terdapat pertambahan peruntukan untuk  pinggir dan luar bandar, dan tak lupa juga Sabah, Sarawak.

“Tumpuan diberikan kepada mereka tidak hanya pada MA63, dalam hal ini pertimbangan di kawasan telah maju dan kurang maju (perlu) diimbangi segera,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast