Gambar hiasan

MELAKA – Kegiatan tiga lelaki mengedar lebih 20 kilogram dadah jenis syabu menggunakan kereta sewa terbongkar selepas mereka ditahan dalam serbuan di Padang Temu, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 1.30 petang selepas mendapati sebuah kereta jenis Perodua Bezza dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kereta dinaiki ketiga-tiga suspek berumur antara 26 tahun hingga 27 tahun itu kemudian menemukan dadah jenis syabu seberat 20,386 gram dianggarkan bernilai RM672, 838.

“Siasatan lanjut mendapati, kemua mereka datang dari Selangor dan menggunakan kereta sewa untuk menghantar bekalan dadah ke negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, sindiket itu dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun ini dan kesemua dadah yang dirampas adalah untuk pasaran luar negara yang boleh digunakan seramai 101,930 orang penagih.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek yang bekerja sebagai penghantar barang mendapati negatif dadah dan dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

“Semua mereka direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 20 September ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast