Nicole Wong
Nicole Wong

KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu sepatutnya mempertimbangkan cadangan menguatkuasakan larangan jualan beras putih tempatan kepada warga asing.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Nicole Wong berkata, Mohamad mengambil jalan mudah apabila memberi alasan ‘warga asing pun perlu makan’ untuk mengetepikan cadangan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh itu.

Beliau memberi contoh, hospital kerajaan mengenakan deposit dan caj masuk wad yang lebih tinggi kepada bukan warganegara walaupun masalah kesihatan yang memerlukan rawatan perubatan tidak membezakan antara rakyat Malaysia dan warga asing.

“Bak kata pepatah, kebajikan bermula di rumah sendiri. Boleh sahaja bantu jiran dan orang asing tetapi pastikan keperluan mendesak rakyat kita dipenuhi dahulu,” katanya dalam kenyataan  hari ini.

Semalam, Mohamad berkata, kerajaan tidak berhasrat untuk menguatkuasakan larangan jualan beras putih tempatan kepada warga asing.

Nicole memberitahu, penguatkuasaan larangan tersebut dapat memastikan bekalan beras putih tempatan mencukupi sekali gus membolehkan lebih ramai rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah membelinya.

Beliau menambah, kekurangan bekalan beras putih tempatan telah menyebabkan harga bahan makanan itu menjadi semakin mahal.

“Justeru menambah lagi beban kewangan rakyat yang sedang berdepan peningkatan kos sara hidup,” jelasnya. – MalaysiaGazette