Tangkap layar dari video menunjukkan kanak-kanak berusia dua tahun nyaris dirempuh sebuah kereta apabila dilihat melintas jalan sendirian di Jalan Melaka Pindah, Alor Gajah, Melaka semalam.

ALOR GAJAH – Polis memberikan nasihat terhadap tindakan cuai seorang wanita yang mengakibatkan anaknya berusia dua tahun melintas jalan sendirian sehingga hampir dirempuh sebuah kereta semalam.

Dalam kejadian 6.51 pagi itu, kanak-kanak berkenaan bagaimanapun terselamat selepas pemandu kereta jenis Perodua Myvi sempat membrek daripada merempuhnya yang sudah berada di tengah jalan raya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan mendapati, pemandu Myvi yang juga seorang guru dalam perjalanan dari arah Durian Tunggal menuju ke Lendu.

“Sebaik tiba berhampiran Sekolah Kebangsaan Melaka Pindah, tiba-tiba kanak-kanak terbabit melintas jalan secara mengejut dari arah kiri menyebabkannya membrek secara tiba-tiba.

“Sebuah motosikal ditunggang lelaki berusia 28 tahun bagaimanapun tidak sempat mengelak dan merempuh belakang Myvi menyebabkannya mengalami luka ringan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Arshad berkata, kejadian itu turut dirakam kamera papan pemuka (dashcam) Myvi dipandu guru berusia 32 tahun itu dan meminta saksi bebas tampil memberi keterangan untuk membantu siasatan.

“Kita lihat memang wujud kecuaian ketika ibu kanak-kanak berkenaan memberhentikan keretanya di bahu jalan untuk menghantar seorang lagi anaknya di seberang jalan.

“Kanak-kanak berusia dua tahun itu bertindak keluar dari kereta dan melintas jalan meninggalkan seorang lagi anak wanita itu berusia lima tahun di dalam kereta,” katanya.

Tambahnya, polis telah memanggil dan menasihati ibu kanak-kanak berkenaan namun tiada tindakan lanjut diambil atas kecuaiannya itu.

“Bagaimanapun, kita akan ambil tindakan bersesuaian jika ada arahan lanjut,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59). – MalaysiaGazette