Mondy bersama Ebit Lew.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memulakan siasatan terhadap pendakwah terkenal, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew berkaitan dakwaan rogol oleh Mondy Tattoo baru-baru ini.

Ia ekoran laporan yang dibuat Mondy yang juga seorang pempengaruh wanita dari Indonesia.

Sambil mengesahkan maklumat itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan kes itu dijalankan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Katanya, lima hari sebelum itu, Ebit juga telah membuat laporan menafikan dakwaan itu dan polis turut menerima satu laporan dakwaan rogol terhadapnya.

“Setakat ini polis telah memanggil seramai 13 saksi berhubung kedua-dua kes tersebut.

“Sebaik sahaja tiba di Malaysia, Ebit Lew telah membuat satu laporan polis terhadap dakwaan yang dilemparkan terhadapnya menerusi sebuah podcast khas bertajuk The Mondy Tattoo Interview,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Bukit Aman di sini hari ini.

Tambah Mohd Shuhaily, setakat ini semakan polis mendapati wanita warga Indonesia itu yang didakwa mangsa dalam kes ini masih berada di Malaysia.

Ditanya mengenai tindakan polis yang didakwa merampas telefon bimbit milik Mondy, Mohd Shuhaily menjelaskan pihaknya mengambil telefon bimbit berkenaan untuk ketelusan siasatan dalam kes ini.

“Kita ambil telefon Mondy untuk membantu siasatan. Memang ada peruntukan undang-undang bila ambil kita siasat pengisian sama dengan apa yang di cakap, masa kejadian dan lain-lain lagi.

“Kes ini masih dalam siasatan polis di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,” tegasnya.

Terdahulu, media melaporkan polis telah merakam keterangan daripada penyanyi rap, Caprice dan Mondy Tattoo berhubung laporan yang dibuat Ebit pada Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar dalam satu kenyataan awal mengesahkan laporan yang diterima itu dan keterangan dirakam di Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor bagi siasatan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast