JASIN – Polis menumpaskan geng curi kabel rentas negeri menggunakan kereta mewah jenis BMW apabila menahan empat ahlinya termasuk seorang wanita di Serkam, di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, kejayaan menahan kesemua suspek berusia antara 23 hingga 42 tahun itu hasil rondaan mencegah jenayah sepasukan polis dari Balai Polis Merlimau kira-kira pukul 5.30 pagi.
Menurutnya, ketika rondaan, anggota polis terbabit mendapati kabel milik Telekom Malaysia (TM) dipotong di tepi jalan di Serkam dan segera menghubungi juruteknik TM untuk pengesahan.
“Pada masa yang sama sebuah kereta jenis BMW tiba-tiba muncul di lokasi sebelum pemandunya memecut kereta sehingga terbabas dan melanggar tembok bangunan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).
“Polis berjaya menahan dua suspek di dalam kereta tersebut yang datang dari Kajang, Selangor dan hasil soal siasat telah membawa kepada penahanan dua lagi suspek yang menaiki kereta berasingan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Tambahnya, kesemua suspek dipercayai mencuri kabel milik TM Tech bersaiz 400 pair sepanjang kira-kira 175 meter bernilai dianggarkan RM30,000.
“Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan direman selama empat hari sehingga Isnin depan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette