MELAKA – Pantai pelancongan, Pantai Puteri, Tanjung Kling, di sini, memerlukan peruntukkan sebanyak RM650,000 untuk kerja-kerja menaik taraf dan pengindahan menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, selain itu beliau akan memastikan kerja-kerja pembinaan projek pembinaan benteng pemecah ombak di sepanjang 2.5 kilometer pantai itu disegerakan.
Menurutnya, pelantikan kontraktor bagi usaha menghalang hakisan pantai itu akan dilakukan selewat-lewatnya November ini sebelum pembinaan bermula Januari depan.
“Saya juga telah minta satu bajet daripada kerajaan negeri keseluruhannya berjumlah RM650,000 supaya kerja-kerja penambahbaikan dapat dilakukan di pantai pelancongan ini terutamanya dari sudut pencahayaan dan kemudahan asas.
“Ini termasuklah membina satu mercu tanda supaya pelancong dapat bergambar dan mempromosikan Pantai Puteri sebagai salah satu destinasi wajib dilawati sempena TMM2024,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Gotong Royong Perdana bersama Orang Diparol (ODP) dan komuniti setempat anjuran Institut Koreksional Melaka (IKoM) di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Penjara Negeri, Datuk Roslan Mohamed dan Komandan IKoM, Mohd Zaidi Alias.
Mengulas lanjut, Tuminah yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri berkata, Makam Hang Tuah juga akan ditambah baik dengan meletakkan lebih banyak papan tanda arah.
“Ini bagi memudahkan pelancong datang ke kawasan ini yang terletak 17.5 kilometer dari pusat bandar Melaka,” katanya. – MalaysiaGazette