Loji nuklear Fukushima Daiichi di Jepun.

KUALA LUMPUR – Jabatan Tenaga Atom di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah berhubung dengan Kedutaan Jepun di Malaysia bagi mendapatkan perkembangan mutakhir isu pelepasan air terawat di loji Fukushima, Daiichi.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dalam satu kenyataan berkata, Kerajaan Jepun telah memohon bantuan teknikal Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk menilai dan memantau pelaksanaan perancangan pelepasan air tersebut demi memastikan ianya dilaksanakan dengan memenuhi aspek impak radiologi, keselamatan sinaran, keselamatan alam sekitar, dan kawalan regulatori.

“Memandangkan Malaysia mempunyai hubungan kerjasama bilateral yang baik dengan Jepun, bahagian ini berpandangan bahawa sebarang kenyataan atau pendirian negara mengenai perkara ini haruslah daripada Kementerian Luar Negara (KLN) dan Jabatan Tenaga Atom, “ katanya dalam kenyataan.

Ini kerana, semua aktiviti berkaitan bahan radioaktif adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Jabatan Tenaga Atom, jelas kementerian tersebut.

Manakala bidang kuasa JAS adalah untuk mengawasi kualiti air marin negara daripada pencemaran di daratan dan di lautan termasuklah tumpahan minyak.

Bagaimanapun, polisi semasa negara mengenai kawalan pencemaran di peringkat antarabangsa (melalui Perjanjian Multilateral Alam Sekitar), NRECC mendukung usaha untuk membentuk masa depan dunia yang bebas pencemaran.

Sebelum ini, Jepun telah mula melepaskan sisa air radioaktif yang dirawat dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik, biarpun rancangan itu mendapat kritikan hebat dan sekatan import makanan laut oleh China, Korea Utara serta Hong Kong dan beberapa negara Pasifik yang lain.

Kemudian pada Julai lalu, IAEA, badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan Jepun telah mematuhi piawaian antarabangsa, selain menjelaskan kesannya terhadap manusia dan alam sekitar adalah ‘sedikit’.

Bagaimanapun, perkara itu masih mendatangkan kebimbangan kepada nelayan, penduduk pesisir pantai.

Malah pakar akedemik tempatan yang ditemui, turut berpandangan berdasarkan kajian, pihaknya tidak menolak arus lautan dengan sisa tritium yang dilepaskan itu boleh mengalir hingga ke negara ini. – MalaysiaGazette