Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar hadir menyampaikan bantuan makanan kepada gelandangan pada Program Jejak Gelandangan dengan kerjasama Pertubuhan Jejak Jalan di sekitar Lorong Haji Taib 2, Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 6 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Prihatin terhadap kos sara hidup yang semakin tinggi, seramai 80 orang menerima bantuan berbentuk keperluan asas daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pihaknya turut bertemu dengan tiga keluarga asnaf merupakan penerima bantuan zakat daripada MAIWP.

Katanya, mereka sebelum ini merupakan golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur namun selepas menerima bantuan daripad MAIWP, nasib kehidupan mereka telah berubah.

“Saya tadi bertemu dengan Nor Nadiah bersama dua orang anaknya. Saya dimaklumkan dia pernah menjadi gelandangan sebelum ini.

“Namun selepas dia dan keluarganya bertemu dengan badan bukan kerajaan (NGO) serta MAIWP, nasib keluarga tersebut telah berubah.

“Alhamdulilah, dia dan keluarganya telah dapat satu bilik. MAIWP memberikan bantuan berbentuk Sewa Rumah Bulanan dan Bantuan Kewangan Bulanan sebanyak RM600 setiap bulan kepada mereka,” katanya.

Mohd Na’im Mokhtar menziarahi bilik sewa yang didiami oleh asnah yang merupakan penerima bantuan zakat daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada Program Jejak Gelandangan dengan kerjasama Pertubuhan Jejak Jalan di sekitar Lorong Haji Taib 2, Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 6 OKTOBER 2023.

Beliau berkata demikian selepas menyantuni serta menyerahkan bantuan kepada golongan asnaf dan gelandangan dalam Program Jejak Gelandangan di Lorong Haji Taib 2, di sini, malam tadi.

Selain memberikan bantuan kewangan bulanan kepada tiga keluarga asnaf, MAIWP turut menyalurkan Bantuan Sewa Rumah dan Bantuan Persekolahan bagi meneruskan kelangsungan dan pendidikan yang sempurna.

Program itu merupakan kerjasama kementeriannya dan MAIWP dengan mengambil inisiatif turun padang memantau isu-isu viral berkaitan gelandangan di ibu kota.

Mohd Na’im Mokhtar menziarahi bilik sewa yang didiami oleh asnah yang merupakan penerima bantuan zakat daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada Program Jejak Gelandangan dengan kerjasama Pertubuhan Jejak Jalan di sekitar Lorong Haji Taib 2, Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 6 OKTOBER 2023.

Sementara itu, salah seorang penerima asnaf yang ditemui, Nuraniza Nasir, 30, berkata, dia berasa amat bersyukur atas keprihatinan MAIWP yang telah membantu keluarga terutama dari segi sewaan rumah.

Ibu kepada tiga anak itu juga tidak menyangka seorang menteri bersama isterinya sudi hadir ke teratak kecilnya bagi melihat kehidupan sebenar mereka di Lorong Haji Taib 2.

“Saya rasa gemuruh sebab tidak pernah ada orang datang ke bilik kami ini. Jadi saya nak ucapkan terima kasih sangat kepada YB Menteri yang sudi melawat dan melihat sendiri keadaan kami dengan memberikan bantuan.

“Saya juga berterima kasih kepada MAIWP yang terus memberikan bantuan membayar sewa rumah bulanan dan bantuan kewangan bulanan dari RM600 kini naik kepada RM700, alhamdulilah.

“Bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan anak-anak saya dan beli keperluan asas untuk kami sekeluarga,”ujarnya dengan penuh rasa syukur. – MalaysiaGazette