Agong
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru negara-negara Islam terutamanya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk bersatu padu membantu menangani kesengsaraan dan masalah yang dihadapi Palestin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata, ini adalah kerana penafian hak asasi rakyat Palestin, terutamanya pembentukan sebuah negara merdeka dan berdaulat dan penindasan yang berterusan adalah punca utama ketegangan Israel-Palestin berterusan.

“Selain itu, ia juga telah diakui bahawa rakyat Palestin berterusan diselubungi pendudukan haram, sekatan dan penderitaan serta pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa sejak sekian lama,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Setakat ini, lebih 400 penduduk Gaza terkorban dan kira-kira 2,300 orang lagi cedera dalam serangan balas yang dilancarkan rejim Zionis Israel sejak kelmarin.

Beliau menambah, Seri Paduka turut menzahirkan rasa dukacita dan gusar dengan konflik terkini di Palestin yang telah mengorbankan ratusan nyawa di kedua-dua pihak.

Zahari memberitahu, Seri Paduka menzahirkan pandangan bahawa masyarakat antarabangsa dan kuasa besar dunia khususnya, wajib memikul tanggungjawab mereka untuk berusaha menghentikan pertempuran dengan serta merta bagi memastikan keamanan serta kestabilan dan mengelakkan pertumpahan darah lebih teruk.

Sehubungan itu, menurut beliau, Seri Paduka menzahirkan sokongan kepada ketetapan Kerajaan Malaysia yang menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengambil tindakan segera untuk menggesa semua pihak
menghentikan keganasan sekali gus menghormati dan melindungi nyawa orang awam.

“Seri Paduka bertitah, Malaysia menyokong dan berpegang teguh dengan pendiriannya selama ini bahawa rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Israel, hak dikembalikan tanah yang dirampas oleh Israel dan hak membentuk sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan mendapatkan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” jelasnya.

Zahari berkata, Seri Paduka bertitah, Malaysia dan rakyatnya sentiasa bersolidariti bersama Palestin dan menyeru seluruh rakyat supaya terus memperjuangkan prinsip keadilan, sikap hormat menghormati, di samping menentang sebarang bentuk keganasan dan kezaliman sesama manusia.

“Seri Paduka turut menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama baginda berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing agar pergolakan dan keganasan terbaharu itu dapat dihentikan dengan segera serta rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Israel.

“Seri Paduka turut menyeru masjid dan surau di negara ini serta rakyat yang beragama Islam di kediaman sendiri untuk mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin,” jelasnya. – MalaysiaGazette