Muhyiddin Yassin. Foto MOHD ADZLAN, 10 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan agar kerajaan pusat dan kerajaan negeri bekerjasama dalam sistem pemantauan bersepadu pengurusan air.

Pengerusi Perikaran Nasional (PN) itu berkata, ia sebagai usaha memastikan kelestarian sumber air, kerajaan menerusi kerjasama Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN) harus mempergiat proses pembesaran dan menaik taraf loji-loji air di seluruh negara.

“Penstrukturan semula industri perkhidmatan air negara dapat memastikan pengoperasian loji rawatan air dan pengagihan air yang lancar tanpa gangguan.

“Melalui pemantauan berterusan, punca bekalan air kerap terputus dan sumber air mentah yang tercemar dapat dikenal pasti segera, sekaligus mengurangkan insiden pencemaran,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Muhyiddin, tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas perlu diambil terhadap pihak yang disabitkan kesalahan mencemari sistem bekalan air menerusi pindaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Katanya, kadar air tidak terhasil (NRW) perlu diberi penekanan khusus dan secara purata sebanyak 37.2 peratus NRW atau hampir 7 juta liter air dibazirkan sehari dengan anggaran kerugian mencecah RM2 bilion setahun.

“Saya menggesa kerajaan segera mencari penyelesaian menang-menang untuk mengatasi masalah ini. Saya berharap melalui penambahbaikan fungsi SPAN di bawah pindaan ini akan diterjemahkan dalam peningkatan kualiti pengurusan bekalan air serta kelestarian sumber air di dalam negara,” ujarnya.

Sementara itu, Muhyiddin berharap pindaan RUU Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Pindaan) 2023 harus dilakukan ke arah mengurangkan karenah birokrasi.

Tambah beliau, tumpuan perlu diberikan kepada cara menambah baik kecekapan pengurusan air dan liputan kemudahan bekalan air kepada segenap lapisan masyarakat, tanpa memberikan layanan yang berbeza di antara negeri.

“Kerajaan Pusat haruslah bersikap adil dalam soal penyediaan utiliti asas secara cekap dan berterusan kerana setiap rakyat Malaysia berhak mendapat bekalan air bersih untuk menjalani kehidupan yang selesa,” ujarnya. – MalaysiaGazette