Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi

KUALA LUMPUR – Kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak mencerminkan Presiden Pas itu sebagai seorang agamawan dengan nilai Islam sebenar, kata Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri.

Ahmad Farhan Fauzi berkata, pihaknya kecewa dengan kenyataan Abdul Hadi yang secara sinis mendakwa seolah-olah kerajaan tidak dapat disucikan lagi kerana dikelilingi pemimpin yang dipalit dengan pelbagai isu terutamanya rasuah.

Abdul Hadi sebagai seorang agamawan sepatutnya perlu menguar-uarkan nilai kebersamaan, kesatuan dan kekitaan terhadap kerajaan.

“Saya menzahirkan rasa kecewa dengan kenyataan dikeluarkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang secara sinis mendakwa seolah-olah Kerajaan Madani tidak dapat disucikan lagi kerana dikelilingi bekas banduan dan perasuah.

“Saya berpandangan bahawa dalam ketika kita hendak berpolitik, biarlah ia bersifat sederhana dan jangan sampai kita memecah-belahkan umat, melontarkan fitnah dan mengadu domba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru itu, Ahmad Farhan berharap dakwaan serong Abdul Hadi terhadap kerajaan perpaduan akan menjadi pengajaran kepada semua pihak untuk bersederhana dalam berpolitik dan tidak merendahkan pihak yang berbeza ideologi.

Dalam perkembangan sama, Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut membidas kenyataan Abdul Hadi yang merendahkan kerajaan Pakatan Harapan – Barisan Nasional (PH-BN) sebagai sebuah gabungan yang diterajui pemimpin dengan gelaran tertentu.

Sementara itu, Angkatan Mudak Keadilan (AMK) dalam kenyataan hari ini berkata, gelaran seperti itu bukanlah kali pertama digunakan oleh Abdul Hadi malah ia telah menjadi antara label yang ‘digemari’ untuk digunakan ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sudah tertulis Perdana Menteri kita hari ini adalah antara insan yang diuji dengan tohmahan dan fitnah sehingga terpenjara dalam jalan perjuangannya sebelum diangkat darjat untuk memimpin negara.

“Seharusnya ia jadi pedoman besar buat kita, bukan untuk direndah-rendahkan,” kata AMK.

AMK turut menasihati Abdul Hadi agar bermuhasabah dan tidak menggunakan tutur bahasa yang penuh hasad dan dengki. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast