SHAH ALAM – Keempat-empat negeri pembangkang mampu menjadi kuasa ekonomi negara dengan pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat Kerajaan Negeri Perikatan Nasional (SG4).
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, ia berasarkan bukti negeri itu menerima komitmen pelaburan berjumlah RM1.3 bilion minggu lalu, tambahan daripada pelaburan sedia ada berjumlah RM2.5 bilion.
“Dengan SG4, dinasihatkan Dr Mahathir kita akan dapat bangunkan empat negeri jadi kuasa ekonomi yang ditakuti kerajaan perdana menteri ke-10.
“Minggu lepas ada pelaburan baru RM1.3 bilion, tambah jadi banyak pelaburan di Perlis,” katanya dalam pidato empat Menteri Besar sempena Muktamar Tahunan Pas, malam tadi di Pusat Konvensyen Idea (IDCC).
Hadir sama adalah Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Shukri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang berkata, dengan kemasukan pelaburan itu, Perlis, Kedah, Terengganu, dan Kelantan akan mampu berdiri sendiri tanpa bantuan kerajaan pusat pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita harap lepas ini tak bergantung dengan kerajaan pusat, kita berusaha ke arah itu untuk sejahterakan rakyat Perlis,” katanya.
Dalam ceramah sama, Shukri berkata, Perlis memerlukan masa untuk mengikis imej pentadbiran Barisan Nasional (BN) memandangkan parti itu memerintah Perlis selama tujuh dekad.
“Perlis 70 tahun 6 bulan masa umum kemenangan PRU15 lalu, BN memerintah Perlis itulah lama tak lama.
“Nak kikis bayang itu payah perlukan masa, penggal pertama baiki, cuci, apa kerajaan lama buat, saya di Perlis baru 11 bulan, perlukan masa panjang untuk memperelok pentadbiran,” katanya. – MalaysiaGazette