PUTRAJAYA – Seramai 5,725 graduan yang menamatkan pengajian serta latihan perguruan di 27 kampus IPG dan English Language Teaching Centre diraikan dalam Majlis Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kali ke-13.
Untuk makluman, IPG KPM melaksanakan konvokesyen secara berpusat kepada graduan yang tamat pengajian program ijazah dan diploma buat kali pertama dan dihadiri oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hari ini.
Dalam ucap tamanya hari ini, Fadhlina melahirkan rasa gembira melihat ribuan graduan yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing dan bakal bergelar tenaga pengajar yang membimbing anak-anak mürid kelak.
Kata beliau, istiadat konvokesyen seperti ini bukanlah hanya sekadar penganugerahan ijazah sebaliknya apa lebih penting inspirasi kepada para graduan yang akan membawa obor kecemerlangan pendidikan negara.
Untuk merealisasikan ini, IPG itu sendiri menjadi satu platform penting dalam menghasilkan produk penguruan terbaik dalam negara kata Fadhlina.
“Sumbangan IPG dalam arena pendidikan amatlah besar terutamanya dalam memberikan latihan perguruan praperkhidmatan dan dalam perkhidmatan itu sendiri. Justeru, syabas saya ucapkan kepada IPG KPM kerana berjaya lahirkan produk guru setiap tahun dalam pelbagai bidang displin ilmu.
“Istiadat konvokesyen detik bermakna bagi meraikan kejayaan graduan yang berjaya tamatkan pengajian masing-masing, tahniah dan syabas kepada anda. Ini juga adalah kejayaan mencitrakan usaha dan iltizam anda selama lima tahun ini sebagai siswa guru. Tahniah juga kepada ibu bapa, peniaga atas kejayaan ini,” katanya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Dalam pada itu, Fadhlina turut berikrar terus mempertahankan institusi IPG yang merupakan aset penting pendidikan negara.
Fadhlina juga mengingatkan para graduan ini tentang beberapa cabaran pendidikan yang bakal ditempuhi dan diberikan perhatian untuk beberapa tahun akan datang.
“Antaranya, Pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang akan berakhir pada 2025 selain kurikulum baharu pada 2027 nanti.
“Kita juga ada Jerayawara Jelajah Pendidikan yang bertujuan untuk merangka pelan pendidikan baharu negara. Semua ini kita perlu beri perhatian.
“Apa jua cabaran, graduan juga perlu optimis dan sentiasa bersedia dalam hadapi apa jua keadaan. Pada graduan juga perlu jaga profesionalisme, akhlak dan etika guru seperti yang termaktub dalam Standard Guru Malaysia 2.0,” ujarnya. – MalaysiaGazette