Johari Abdul

KUALA LUMPUR – Isu gelar menggelar dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen pada persidangan Dewan Rakyat pada minggu lalu mendapat perhatian Yang Dipertuanya, Tan Sri Johari Abdul, hari ini.

Sebelum memulakan sesi pertanyaan-pertanyaan lisan, Johari  menasitkan agar Ahli-ahli Parlimen menghentikan isu dan penyataan kafir, zionis dan yahudi pada persidangan itu.

Beliau berkata, kenyataan tersebut akan mengeruhkan suasana dan menyentuh sensitiviti keharmonian yang akan menimbulkan rasa tegang antara Ahli Parlimen.

“Yang Berhormat hendaklah menunjukkan tingkah laku yang terpuji semasa mengetengahkan isu-isu rakyat dan negara.

“Ahli-ahli Yang Berhormat hendaklah menjadikan kepentingan negara sebagai matlamat utama dan tidak menggunakan dewan ini sebagai medan politik kumpulan mahupun individu,” katanya.

Media melaporkan kenyataan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) ‘DAP kafir’ pada minggu lalu mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat.

RSN Rayer (PH-Jelutong) berkata, kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen daripada Pas itu sebagai kurang sopan dan biadab kerana DAP juga dianggotai oleh Ahli Parlimen beragama Islam.

Berikutan itu, Johari meminta Ahli Parlimen membuka lembaran baharu selain memadamkan isu panas yang dibangkitkan pada minggu lalu.

“Biarkanlah perbahasan Ahli-ahli Yang Berhormat berlandaskan isu demi membela nasib rakyat. Saya tegaskan bahawa saya tidak akan bertolak ansur lagi dan akan mengambil tindakan sekiranya isu dan perkataan yang dimaksudkan tadi dibangkitkan lagi,” katanya.

Johari juga mengingatkan Ahli Parlimen bahawa isu-isu peribadi yang dibangkitkan dan dilaporkan di luar sepatutnya tidak dibawa serta diungkit dalam Dewan Rakyat.

“Isu-isu peribadi dibangkitkan yang dilaporkan di luar hendaklah diselesaikan di luar dewan,” katanya. – MalaysiaGazette