KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen blok pembangkang mendakwa, penganjur perhimpunan pro-Palestin di Dataran Merdeka semalamĀ menyentuh dan menghasut berkenaan isu 3R (kaum, agama dan raja-raja).
Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang merupakan wakil pembangkang berkata, beliau merujuk kepada laporan berita yang mendakwa kumpulan Viva Palestina Malaysia (VPM) menghalang orang ramai daripada bertakbir ketika protes berkenaan berlangsung.
“Ini 3R dengan menuduh sesiapa yang melaungkan takbir sebagai ekstremis.
“Mengapa penunjuk perasaan semalam dihalang daripada melaungkan takbir?
“Malah ada seorang menteri dan anak perempuan perdana menteri pada majlis itu,” katanya pada sidang media di pusat media, Parlimen, di sini, hari ini.
Kenyataan Ketua Pemuda Bersatu itu merujuk kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, serta bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.
Wan Ahmad Fayshal tidak berpuas hati dengan sikap pihak kerajaan berhubung isu 3R yang dibangkitkan pembangkang di Dewan Rakyat hari ini.
“Mengapa isu ini diabaikan dan tidak dibangkitkan?” katanya.
Semalam media melaporkan Pengerusi VPM, Musa Mohd Nordin dipetik berkata, laungan takbir akan menyebabkan peserta bukan Islam tersisih daripada orang Islam.
“Kami (VPM) membuat kenyataan rasmi bahawa (perhimpunan itu) adalah untuk masyarakat berbilang kaum dan agama.
“Kami mahu semua orang bersama-sama melaungkan (slogan), jadi jika kamu bertakbir, maka kamu mengasingkan orang bukan Islam dalam khalayak ramai,” ujarnya.
Musa turut didakwa berkata, dia percaya kumpulan yang berkeras mahu bertakbir itu adalah kelompok yang agak konservatif dan ekstrem dengan menganggap konflik di antara Israel dan Palestin) hanyalah melibatkan masyarakat Muslim dan Yahudi.
Pada masa sama Musa mendakwa dia tidak melarang takbir dilaungkan.
Dalam pada itu, di laman aplikasi TikTok, seorang wanita yang menggunakan nama ‘Hajar’ kecewa apabila mendakwa penganjur melarang melaungkan ‘Allahuakbar’.
Menyifatkan himpunan berkenaan sebagai gagal, wanita tersebut menegaskan penganjur tidak menumpukan tujuan himpunan sebenar iaitu untuk bersolidariti untuk Palestin. – MalaysiaGazette