Kok Chin (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pihaknya pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Tindakan sindiket dadah menjadikan sebuah rumah teres dua tingkat di Teluk Kumbar di sini sebagai makmal memproses dadah berjaya dilumpuhkan selepas polis merampas dadah bernilai hampir RM2 juta.

Operasi selama tiga hari berakhir semalam yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri dengan kerjasama JSJN Bukit Aman serta Cawangan Khas Bukit Aman itu turut membawa kepada tangkapan empat lelaki berusia 27 hingga 33 tahun di enam lokasi berasingan di negeri ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, tangkapan pertama dilakukan di tepi jalan di Tanjung Tokong pada Jumaat lalu sebelum polis menemui sejumlah dadah di dalam sebuah kereta.

Kok Chin menunjukkan barang digunakan sindiket bagi memproses dadah yang dirampas pihaknya.

Jelas beliau, susulan itu, serbuan kedua dilakukan di Gelugor pada keesokan hari yang membawa kepada tangkapan kedua.

“Manakala suspek ketiga dan keempat ditahan di Lebuh Sungai Pinang pada hari sama sebelum pihak polis menemui sejumlah dadah dalam kereta yang diparkir.

“Susulan tangkapan itu, kita menyerbu sebuah premis dua tingkat tanpa penghuni di Teluk Kumbar yang dijadikan tempat memproses dadah dadah syabu dan heroin,” ,” katanya pada sidang media di ibu pejabat polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Serbuan dilakukan serentak di enam lokasi.

Hasil pemeriksaan menemui heroin base seberat 18.4 kilogram (kg) bernilai RM1.8 juta, 23.3 kg heroin (RM194,000), 1.5 kg syabu (RM49,700), 94.4 kg kafein (RM32,100), bahan kimia serta peralatan memproses dadah yang mana secara keseluruhan rampasan bernilai RM2 juta.

Turut disita barang kemas berjumlah RM32,435 wang tunai (RM1,660) dan enam buah kereta serta dua buah motosikal (RM157,500).

Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati suspek aktif dalam kegiatan tersebut sejak awal tahun ini dan dadah yang diproses bagi pasaran tempatan.

“Hasil ujian air kencing mendapati semua suspek itu bebas daripada pengaruh dadah, namun dua daripada empat suspek itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Keempat-empat suspek kini direman selama seminggu hingga 27 Oktober bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” kata Kok Chin. – MalaysiaGazette