MELAKA – Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan 15 gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menganjurkan Jelajah Mega Himpunan 1 juta Pembela Palestin di seluruh negara bermula Ahad ini.
Pengerusi DMDI, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, himpunan bermula di Stadium Hang Jebat, Krubong bermula 9 pagi itu menyasarkan 10,000 peserta sebelum diteruskan di beberapa negeri termasuk kedah, kelantan, Terengganu dan Selangor dan berakhir di Kuala Lumpur.
Menurutnya, antara 15 NGO terlibat untuk mengumpulkan 1 juta peserta adalah Serantau Muslim, My Aqsa Defenders (MyAD), Muslim Volunteers Malaysia, Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dan Pertubuhan Ikram Malaysia.
“Himpuna seramai 10,000 peserta ini bagi menyatakan solidariti kita kepada saudara kita di Palestin yang telah dianiaya dan dinafikan hak mereka dibuminya sendiri.
“Sokongan akan kita bawa ke setiap negeri dengan sasaran 1 juta peserta untuk memberikan gelombang yang lebih besar menghentikan keganasan dilakukan Israel,” katanya
Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Mesyuarat DMDI, Kota Cemerlang di sini, hari ini. Hadir sama, Pengerusi Serantau Muslim, Mohd. Hakim Mohd. Noor.
Mengulas lanjut, Mohd Ridhwan pada perhimpunan itu, DMDI akan turut melancarkan tabung kemanusiaan bagi mengumpul dana kepada negara Palestin dalam masa terdekat.
Sementara itu, Mohd. Hakim berkata program tadabbur al-Quran akan menjadi pengisian utama himpunan itu di setiap negeri.
“Tujuh surah yang akan menjadi formula pembebasan al-Aqsa yang disebut dalam beberapa ucapan bahawa peperangan yang berlaku di Palestin hari ini adalah permulaan kepada pengakhiran.
“Ini merujuk untuk tempoh tertentu negara Israel Zionis itu akan lenyap kerana itu yang dijanjikan dalam al-Quran,” katanya. – MalaysiaGazette