Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Gara-gara terpedaya bakal menerima wang tunai RM60 juta yang akan diserahkan oleh pengawal keselamatan ke rumahnya, seorang ahli perniagaan remaja berusia 19 tahun berputih mata.

Akhirnya mangsa mengalami kerugian sebanyak RM1.43 juta dalam pelaburan yang disertainya menerusi media sosial Instagram.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yusoof berkata, siasatan mendapati mangsa telah menyertai pelaburan tidak wujud itu sejak Mei  lalu.

“Pengadu tertarik dengan pakej pelaburan daripada sindiket di dalam Instagram itu yang bernilai antara RM2,800 hingga RM6,738 setiap slot dengan keuntungan ditawarkan sehingga RM70,000 dalam tempoh tiga bulan sahaja.

“Terpedaya dengan tawaran itu, mangsa kemudian membeli sebanyak 54 slot pelaburan tetapi tidak menerima keuntungan seperti yang dijanjikan oleh sindiket tersebut,” katanya.

Tambah Ramli Mohamed lagi, bukan sekadar itu, mangsa juga telah diminta oleh sindiket itu membuat bayaran tambahan RM431,000 kononnya bagi mengupah pengawal keselamatan untuk mengiringi penghantaran wang tunai sebanyak RM60 juta kepadanya secara bersemuka.

“Mangsa yang sekali lagi terjerat dengan umpan sindiket itu membuat bayaran RM431,000 itu tetapi malangnya wang tunai RM60 juta yang dijanjikan tidak diterima juga,” katanya lagi.

Dalam satu lagi kes, seorang pengarah syarikat rugi lebih RM7 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan mata wang kripto sejak Julai lalu.

Ramli Mohamed berkata, mangsa warga tempatan berusia 52 tahun itu menyertai kelas dalam talian berkaitan pasaran stok Jun lalu sebelum menceburi pelaburan mata wang kripto menggunakan platform Yoamex dan membuka akaun pada Julai lalu dengan jumlah keseluruhan pelaburan RM7.1 juta.

“Malangnya, melalui laman sesawang pelaburan itu, pengadu hanya dapat melihat akaunnya menjana keuntungan sehingga 13.7 juta Dolar Amerika Syarikat (USD) atau RM65.58 juta tetapi tidak dapat mengeluarkan satu sen pun daripada keuntungan itu,” katanya dalam sidang media di Menara KPJ di sini hari ini.

Ramli berkata, pengadu memaklumkan dia tidak dapat membuat pengeluaran pelaburan itu kerana didakwa terdapat siasatan sedang dijalankan di bawah pengubahan wang haram (AMLA).

Selain itu, katanya, mangsa juga diminta membuat bayaran tambahan sebanyak lima peratus daripada jumlah keuntungan pelaburan iaitu USD683,893 atau RM3.2 juta oleh sindiket tersebut.

Dalam kes ketiga, Ramli Mohamed berkata, pihaknya telah menerima satu lagi kes membabitkan pelaburan mata wang kripto membabitkan mangsa seorang pesara tentera warga emas berusia 75 tahun yang mengalami kerugian RM2.75 juta.

Katanya, mangsa telah tertarik dengan iklan pelaburan mata wang kripto yang dijumpai dalam iklan di media sosial Facebook pada Mei lalu sebelum dihubungi individu selepas menekan pautan iklan berkenaan.

“Kemudian, seorang individu memperkenalkan diri sebagai penasihat pelaburan kemudian menawarkan pakej pelaburan menjanjikan pulangan tinggi dalam masa beberapa hari kepada pesara tentera tersebut.

“Dalam kes ini, mangsa pesara tentera itu juga hanya dapat melihat keuntungan diraih secara dalam talian menerusi laman sesawang yang diperkenalkan sindiket itu namun tidak dapat membuat sebarang pengeluaran wang daripadanya,” ujarnya.

Ramli Mohamed juga memaklumkan  kes keempat penipuan sindiket jenayah komersil kali ini membabitkan seorang ahli perniagaan berusia berusia 40 tahun yang kerugian RM1.17 juta dalam urusan pembelian alat pemancar FM.

Katanya, siasatan pihaknya mendapati mangsa telah berurusan dengan sebuah syarikat di Amerika Syarikat bagi urusan berkenaan dan menerusi hasil perbincangan dia diminta membuat pembayaran sebanyak RM1.17 juta ke dalam satu akaun bank diarahkan oleh sindiket.

“Selepas mangsa membuat pembayaran yang diarahkan terus menghubungi syarikat terbabit namun dimaklumkan invois diterima oleh syarikat mangsa adalah palsu.

“Hasil semakan mangsa mendapati alamat e mel yang berurusan dengan syarikat pengadu adalah berbeza dengan dua huruf berbanding alamat sebenar syarikat terbabit,” katanya.

Polis menerima laporan polis untuk keempat-empat kes penipuan komersil itu pada minggu lalu dan siasatan sedang diteruskan di bawah 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast