ALOR GAJAH – Seorang murid Tahun 4 cedera selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas di hadapan Sekolah Kebangsaan Durian Daun (K), Masjid Tanah, di sini, tengah hari tadi
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu menyebabkan mangsa, murid lelaki berusia 10 tahun retak bahu dan kaki kiri.
Menurutnya, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa bersama beberapa murid lain sedang melintas dari sebelah kanan ke kiri jalan di garisan kuning lintasan pejalan berlampu isyarat.
“Bagaimanapun, sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 45 tahun dari arah Lendu ke Masjid Tanah.tiba-tiba tidak sempat brek dan mengelak menyebabkan cermin sisi sebelah kanan bergesel dengan mangsa.
“Nahas itu mengakibatkan mangsa mengalami retak bahu dan kiri dan dirawat di zon hijau Hospital Alor Gajah,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Tambahnya, ketika kejadian jalan lurus dan tidak hujan selain lampu isyarat lintasan pejalan kaki juga berfungsi dengan baik.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette