KAJANG – Sindiket dadah yang menyeludup masuk syabu dan kokain seberat 511.985 kilogram (kg) bernillai RM33.73 juta yang dicampur dengan bawang dalam sebuah kontena kargo kapal laut dari Pakistan ditumpaskan pihak berkuasa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, bekalan dadah yang dibawa masuk menerusi Pelabuhan Klang sebelum ke Taman Prima, Cheras pada 24 Oktober lalu dikesan dan digempur dalam tiga serbuan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur pada 25 Oktober lalu.
Serbuan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia itu pada sekitar 12.30 tengah hari hingga 2.15 petang itu berjaya membawa kepada tangkapan enam suspek lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Sri Lanka berusia lingkungan 21 hingga 53 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut berjaya membawa pasukan merampas 411.172 kilogram syabu dan 100.813 kilogram kokain dianggarkan berjumlah RM33.73 juta yang boleh digunakan oleh 2.6 juta orang penagih dadah di sekitar Lembah Klang.
“Siasatan mendapati lelaki warga Sri Lanka itu berperanan sebagai penyelaras yang menguruskan kemasukan bekalan dadah ke Malaysia bersubahat dengan ahli sindiket tempatan menggunakan kargo laut melalui Pelabuhan Klang sebelum kesemua suspek ditahan semasa memunggah keluar bekalan itu dari kontena ke dalam sebuah gudang simpanan semasa serbuan di Taman Cheras Prima.
“Siasatan mendapati dadah berkenaan dibawa guna kontena dengan dicampurkan bersama bawang dalam guni merah dan kita terpaksa mengambil masa panjang menggeledah mahu mengeluarkan guni bawang sebab dadah diletakkan belakang kontena semata-mata mahu mengelirukan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Kamaruddin menambah, polis juga berjaya merampas dan menyita pelbagai aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM384,964 yang terdiri daripada enam buah kenderaan jenis Alfat, BMW, Proton X70 dan enam barang kemas sekaligus nilai keseluruhan rampasan dadan dan sitaan berjumlah RM34.116 juta.
Siasatan lanjut pihaknya tidak menolak kemungkinan sebahagian daripada 511 kg dadah itu bertujuan untuk diseludup keluar dari negara ini manakala selebihnya untuk kegunaan pasaran tempatan.
Sindiket itu aktif dalam kegiatan berkenaan sejak awal tahun ini dalam penyeludupan dadah bagi tujuan pengedaran di sekitar Lembah Klang.
Ditanya sama ada kokain masih menjadi mempunyai permintaan banyak di pasaran, beliau berkata, syabu bernilai RM36,000 sekilogram masih menjadi barang pilihan utama di pasaran negara ini manakala kokain pula menerima permintaan tinggi di pasaran gelap.
Ia selalu digunakan banyak oleh orang kenamaan di negara ini kerana setiap kilogram kokain bernilai RM200,000.
Kesemua suspek kini sedang direman selama tujuh hari bermula 26 Oktober hingga 1 November ini untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Dadah Berbahaya (Perluchutakan Harta) 1988.
“Saringan awal ujian air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah manakala lima daripada suspek mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.
“Polis dengan operasi ini yakin berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dan siasatan diteruskan untuk mengesan saki baki ahli sindiket untuk dibawa ke muka pengadilan,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette