Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa.

KUALA LUMPUR – Ahli politik yang menentang program Minggu Solidariti Palestin anjuran Kementerian Pendidikan merupakan golongan yang buta sejarah Palestin.

Naib Presiden Amanah Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, program tersebut merupakan usaha Kementerian Pendidikan supaya generasi baharu tidak buta sejarah.

“Arahan dan pekeliling Kementerian Pendidikan sangat terang dan jelas supaya anak generasi kita tidak buta sejarah seperti sebahagian ahli politik yang menentang Minggu Solidariti Palestin.

“Kita mahukan kesedaran kemuliaan insan atau karamatul insan melalui prinsip hormat dan ihsan dalam MADANI dihayati.

“Pihak sekolah perlu ambil kesempatan ini tanpa perlu menggunakan kaedah lain kecuali program kesedaran, solat hajat, kisah penderitaan Palestine dan keganasan regim Zionis,” tegasnya.

Mujahid berkata, Amanah menyokong sepenuhny Minggu Solidariti Palestin dan program tersebut perlu dijayakan dengan penuh peradaban dan berperundangan.

Serentak itu beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk memberi sokongan padu kepada Minggu Solidariti Palestin.

Mujahid berkata, solidariti kepada Palestin adalah solidariti kepada isu kemanusiaan yang merentasi kaum dan agama.

Tegasnya, isu Palestine bukan bermula dari serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober lalu.

Ia bermula sejak Mei 1947 dengan penubuhan negara Israel dan diikuti dengan Hari Nakbah yang menyaksikan pengusiran dan penyembelihan penduduk asal Palestin.

“Semenjak 1947, rakyat Palestine menjadi mangsa penjajahan Zionis Israel yang meneruskan penghapusan etnik Arab Palestin melalui perampasan tanah ladang, rumah kediaman dan pembinaan penempatan haram Yahudi.

“Gaza menjadi penjara terbesar dengan penempatan 2.2 juta penduduk dan pelarian diharamkan mendapat kemudahan asas kehidupan seperti air dan tenaga elektrik sejak berpuloh tahun.

“Kepada mereka yang jahil sejarah ini hentikanlah retorik memandang sebelah mata kononnya serangan pejuang kebebasan ke atas Israel ialah tindakan keganasan tetapi buta sejarah bahawa Palestine dijajah dan dijarah sejak 70 tahun yang lampau,” tegas beliau.

Beberapa ahli politik termasuk wakil rakyat daripada parti kerajaan meminta kerajaan supaya mengkaji semula penganjuran Minggu Solidariti Palestin. – MalaysiaGazette