MELAKA – Melaka akan menyediakan insentif khas kepada lebih 1,000 pemandu dan penghantar E-Hailing bagi menghargai peranan mereka sebagai duta kecil membantu mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, nilai bantuan itu bagaimanapun akan diumumkan pada pembentangan belanjawan negeri akhir bulan ini.
“Saya melihat peranan penghantar E-Hailing ini yang kerja siang malam menjadi penjana kepada ekonomi yang baik kepada negeri.
“Jadi sudah tentu mereka juga memerlukan perhatian dan sokongan daripada kerajaan negeri untuk membantu mereka meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Pelekat Kenderaan Promosi TMM2024 di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, beliau akan mengaturkan (perbincangan) dengan pemilik jenama E-Hailing untuk mempertingkatkan kualiti perkhidmatan lebih 1,000 pemandu dan penunggang E-Hailing yang aktif di Melaka.
”Saya berharap mereka ini secara tidak rasminya boleh dilantik sebagai duta pelancongan Melaka dalam mereka mengendalikan penghantaran,” katanya. – MalaysiaGazette