KUALA LUMPUR – Penyedia Kandungan TikTok Pro Perikatan Nasional (PN), Syarul Ema Rena Abu Samah atau lebih dikenali sebagai Ratu Naga diambil keterangan hampir tiga di Bukit Aman, hari ini.

Peguamnya, Zaid Malek mengesahkan anak guamnya disiasat berkaitan hantaran di akaun Instagram milik Syarul Ema yang memaparkan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama pemimpin luar negara.

Zaid berkata, kandungan hantaran Syarul Ema merupakan hantaran semula yang dimuat naik daripada akaun Instagram milik Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Beliau berkata, anak guamnya disiasat bukan satu kes sahaja, bahkan turut dirakam keterangan berkaitan satu lagi kes perhimpunan aman mengenai solidariti rakyat Palestin pada 25 Oktober lalu.

“Apabila kita masuk ke dalam, dapat satu lagi siasatan yang dijalankan terhadap Syarul Ema.

“Ini berkenaan dengan satu himpunan pada 25 Oktober 2023 di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat dikatakan Ema terlibat.

“Terdapat dua kenyataan telah diambil daripada beliau, kedua-duanya berkisar kepada perkara sama isu konflik Israel dan Palestin,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Bukit Aman, hari ini.

Tambahnya, bagi siasatan pertama, Syarul Ema disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Sekysen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Jelasnya, manakala bagi siasatan kedua, Syarul Ema pula disiasat di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Awam.

“Kedua-dua kes ini melibatkan pelanggaran siasatan berkenaan perkara yang menjadi hak setiap rakyat Malaysia untuk berhimpun dan berekspresi,” katanya.

Katanya, kedua-dua tindakan anak guamnya itu bukan satu kesalahan kerana kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman dijamin Perlembagaan Persekutuan.

“Tiada masalah mengeluarkan apa-apa kritikan, komen berkenaan tindakan mana-mana Menteri, ahli politik mahupun orang terlibat.

“Begitu juga dengan perhimpunan aman protes untuk menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin.

“Ia tertakluk di bawah Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 10, iaitu satu-satu hak mana-mana rakyat Malaysia untuk menyertai mana-mana protes aman,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa kesal apabila anak guamnya tetap disiasat sedangkan ia tidak menimbulkan sebarang isu.

“Tidak ada isu yang harus melibatkan beliau dipanggil dan disiasat di bawah kesalahan-kesalahan ini.

“Malah siasatan dibuat terhadap Ema tidak perlu dan telefon bimbit pula dirampas walaupun dengan isu tersebut bukan beliau isu utama,” katanya. – MalaysiaGazette