KUALA LUMPUR – Isu tunggakan gaji yang dialami oleh pasukan Kelantan FC terus menjadi bualan apabila memberi kesan mendalam ke atas pemain.
Terdapat dalam kalangan pemain yang hanya mampu makan mi segera berbanding makanan sihat.
Perkara ini dikongsikan oleh salah seorang pemain iaitu Yusri Yuhasmadi apabila dia memuat naik gambar baru-baru ini memaparkan dia sedang menikmati hidangan mi segera.
“Macam mana nak gagah kalau makan mi segera setiap hari,” tulisnya di Instagram.
Kelantan FC kini terus menjadi pasukan belasahan apabila tewas 0-8 ketika turun menentang Perak FC dalam saingan Liga Super yang berlangsung di Ipoh pada Sabtu lalu.
Ada juga penyokong yang mendakwa Kelantan tidak mampu membayar sewa bulanan dan kini dihalang daripada memasuki kawasan itu.
Difahamkan sudah dua kali pihak jabatan Pertanian menutup kawasan itu dalam tempoh lima bulan.
Kali terakhir laman Facebook rasmi TRW Kelantan memuat naik gambar sesi latihan di padang tersebut adalah pada 12 Jun lalu.
Bagaimanapun Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan, Ahmad Muzakkir Hamid menjelaskan, mereka kini telah tukar lokasi padang latihan lain kerana kadar sewa yang lebih rendah.
“Mengenai padang latihan Kelantan FC, kita telah berpindah ke padang baru yang mana kadar sewanya lebih rendah,” jelas Ahmad Muzakkir. – MalaysiaGazette