MELAKA – Taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Taman Pertam Jaya di sini yang dipercayai mengabaikan seorang bayi lelaki berusia 12 bulan sembilan hari sehingga menyebabkannya dalam kritikal rupa-rupanya tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pengarah JKM Melaka, Zulkifli Hanifah berkata, susulan itu pihaknya telah menyita taska berkenaan yang baru berpindah ke lokasi baru itu kira-kira pukul 2 petang tadi.
“Siasatan awal JKM mendapati, taska berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984, iaitu mengendalikan suatu taska tidak berdaftar.
“Sebelum ini, taska berkenaan berdaftar di premis lain tidak jauh dari situ namun selepas berpindah ke premis baru di rumah teres semi-D itu 1 Ogos lalu, ia belum didaftarkan lagi,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.
Sehubungan itu, katanya, JKM akan mengambil tindakan lanjut sekiranya taska tersebut tidak mengemukakan bukti atau perakuan pendaftaran selepas 21 hari dari tarikh sitaan.
“Ia sama ada dikenakan kompaun atau tindakan pendakwaan berlandaskan undang-undang kerana saya difahamkan sehingga hari ini bayi lelaki berkenaan masih dalam keadaan koma,” katanya.
Menurutnya, siasatan juga mendapati taska berkenaan menguruskan 17 bayi dan kanak-kanak berusia antara satu hingga empat tahun.
Bagaimanapun semakan lanjut menunjukkan pemilik taska tidak pernah melakukan sebarang kesalahan sejak mula beroperasi di premis lama pada Januari 2021.
Semalam, media melaporkan bayi berkenaan kritikal dan tidak sedarkan diri sehingga terpaksa ditahan di zon merah Hospital Melaka kerana mengalami pendarahan di kepala.
Kejadian disedari bapa bayi berkenaan yang dihubungi pemilik taska pukul 9.30 pagi memaklumkan mata anaknya itu tiba-tiba menunjukkan tanda seperti diserang sawan ketika sedang mandi.
Pemilik taska mendakwa kecederaan berlaku selepas bayi lelaki itu terjatuh dari kerusi bouncer dan terlanggar kerusi tersebut.
Bapanya kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611). – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: