Gambar hiasan

LANGKAH Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memansuhkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2021 adalah berpunca daripada pengenalan kepada Gred Purata Sekolah (GPS) dan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP).

Pengerusi Biro Pendidikan Parti Putra Malaysia (Putra), Mohd Nasir Othman berkata, GPS sekolah menjadi ranking atau kedudukan pencapaian dalam daerah, negeri dan kebangsaan yang dijadikan perbandingan.

Katanya, ranking atau kedudukan prestasi pencapaian sekolah diukur melalui GPS. Sekolah yang GPS “besar” adalah pencapaian terendah.

“Sebagai contoh, di sekolah rendah, angka maksima ialah 5. Angka 1 adalah cemerlang. Tidak ada sekolah yang mendapat GPS 5. Paling corot pun sekolah memperolehi 4 perpuluhan angka tertentu. Akhirnya GPS pun dimansuhkan kerana tekanan pihak tertentu.

“GPS dan GPMP adalah alat mudah menilai pencapaian sekolah dan mata pelajaran.

“Oleh kerana ‘disalahgunakan’ oleh pihak ‘berkepentingan’ dalam KPM sendiri menjadi persaingan yang tidak sihat berkaitan kedudukan sekolah dalam, daerah, negeri dan kebangsaan,” dakwanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohd Nasir, bagi sekolah yang corot menjadi ‘perhatian’ pihak berkepentingan termasuk ibu bapa.

“Dalam ‘Dialog Prestasi’ peringkat daerah atau negeri menjadi bahan jenaka umpatan dan tekanan kepada sekolah yang terpaksa akur kepada kehendak orang atas bukan memenuhi keperluan sekolah.

“Bukan setakat dalam circle pendidikan malahan ibu bapa dan persekitaran sekolah juga akan memberi perhatian.

“Ibu bapa akan membuat pilihan mencari sekolah yang prestasi lebih baik walaupun sekolah jauh dari tempat tinggal,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra.

Katanya lagi, bukan salah UPSR tetapi proses pembelajaran di sekolah kurang berkesan.

Beliau berkata, tumpuan sekolah hanya murid tahun 6 yang akan menduduki UPSR.

“Segala macam”program jangka pendek” termasuk program motivasi dengan pelbagai jenama dan jargon yang mendapat sokongan pelbagai pihak untuk meningkatkan pencapaian UPSR.

“Maka “program tuisyen” yang terbesar berlaku di sekolah untuk murid tahun enam sepanjang satu tahun sebelum UPSR.

“Oleh kerana tumpuan yang berlebihan terdapat mata pelajaran yang bukan peperiksaan diabaikan untuk memberi laluan kepada mata pelajaran peperiksaan. Umpamanya mata pelajaran Pendidikan jasmani tidak laksanakan mengikut jadual,” jelas beliau.

Nasir berkata, seharusnya perlu ada keseimbangan pelaksanaan proses pembelajaran yang berlaku di semua peringkat tahun satu hingga tahun enam.

“Oleh kerana pencapaian UPSR adalah memberi pemberatan yang tinggi terhadap nilai dalam GPS,” katanya.

Nasir dalam kenyataannya juga berkata, kenyataan KPPM UPSR menyekat peluang murid aktif dalam bidang selain akademik adalah menunjukkan kedangkalan yang dipersalahkan ujian bukannya proses pelaksanaan pembelajaran.

Beliau juga berkata, isu yang sebenarnya ialah proses pembelajaran, UPSR adalah alat pengukuran.

“Analogi mudah, jika pengusaha menternak ayam daging mengambil tempoh masa 45 hari target atau sasaran satu kilogram (kg). Sampai waktu untuk ayam matang, ada ayam yang tidak mencapai 1kg. Adakah salah penimbang?

“UPSR hanya “penimbang” pencapaian adalah tergantung kepada proses pembelajaran,” ujar Nasir.

Beliau berkata, proses pembelajaran untuk UPSR sepatutnya bermula di tahap satu iaitu pada tahap memperkukuhkan penguasaan asas yang menjadi teras pembelajaran.

Aras rendah bermaksud murid tahu, faham dan ingat perlu diberi perhatian sewajarnya, katanya lagi.

“Bukan hanya tumpuan KBAT. Murid daripada pelbagai latar belakang dan tahap penguasaan. Dalam isu ini, bukan salah sistem Pendidikan tetapi pelaksanaannya yang harus diberikan perhatian,” ujar beliau.

Nasir juga berkata, kepimpinan Pendidikan terutamanya di peringkat PPD dan sekolah seharusnya diperkasakan.

“Guru-guru jangan dibebankan dengan kerja-kerja bukan pengajaran. Pelantikan pegawai di semua peringkat JPN, PPD dan sekolah, perlu berdasarkan merit dan bukannya pengaruh politik atau nepotism,” dakwa Nasir.

Beliau juga berkata, kutipan dan manipulasi data sekolah sangat membebankan pihak sekolah.

“Berlaku pertindihan di Kementerian, JPN dan PPD. Data yang pungut ada yang hanya menjadi ‘sampah’, tidak tahu apakah tujuannya.

“Adalah menjadi tanggungjawab KPM memastikan kelestarian pendidikan mengikut peredaran masa,” katanya.

Beliau berkata, keakuran dan pematuhan amalan menurut nilai BENAR, AMANAH, MENYAMPAIKAN (delivery) dan BIJAKSANA perlu dihayati dan dipraktik di semua peringkat kepimpinan Pendidikan jika ingin melihat kejayaan Sistem Pendikan Malaysia yang terus bercelaru. – MalaysiaGazette

Pengerusi Biro Pendidikan Parti Putra Malaysia (Putra), Mohd Nasir Othman