Suspek warga asing tidak berdokumen dan positif methaphetamine diberkas polis di Sepang.Gambar iIhsan IPD Sepang.

KUALA LUMPUR – Polis telah menafikan satu klip video tular  didakwa ada kaitan dengan kes penculikan di hadapan sebuah kedai dobi di Sepang Putra, Sungai Pelek, Sepang hari ini.

Semakan polis berdasarkan nombor pendaftaran kereta berkenaan mendapati ia berkaitan kes melarikan diri daripada pemeriksaan polis dalam kejadian pada 31 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang,  Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemunculan sebuah kereta dalam keadaan yang mencurigakan di hadapan kedai dobi tersebut.

Bertindak atas maklumat, polis dari Balai Polis Sungai Pelek telah hadir ke lokasi dan membuat pemeriksaan.

“Namun semasa anggota hendak memeriksa, pemandu kereta mencurigakan itu tidak bekerjasama dan terus melanggar motosikal polis yang diparkir di tepi jalan seterusnya memecut laju meninggalkan kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Wan Kamarul Azran, kedua-dua suspek kemudiannya berjaya diberkas pada hari yang sama lebih kurang 1 tengah hari di hadapan sebuah hotel di Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan.

Hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek turut berjaya membawa kepada rampasan sebuah kereta jenis Honda Civic berwarna kelabu dan sebuah kereta jenis Honda CRV berwarna merah.

“Hasil semakan juga mendapati kedua-dua suspek tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah selain ujian saringan dijalankan mengesahkan mereka positif dadah jenis metaphatamine.

Kedua-dua suspek kini sedang direman selama 14 hari sehingga 18 November ini untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan kes masih dalam siasatan.

Tegas Wan Kamarul Azran lagi, siasatan susulan polis juga mengesahkan kejadian video culik yang ditularkan serta dikaitkan dengan kenderaan yang dirampas bersama tangkapan dua warga asing berkenaan tiada kaitan.

“Orang ramai diminta agar tidak membuat spekulasi selain menularkan kejadian yang tidak tepat.

“Jangan sesekali menularkan perkara yang tidak sahih sehingga menimbulkan kegentaran awam dan pastikan kesahihan sebarang info atau maklumat yang diterima terlebih dahulu dan sebarang pertanyaan boleh diajukan ke mana-mana balai polis berhampiran untuk mendapatkan kepastian,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast