Tan Sri Lim Kit Siang semasa melancarkan buku 'Lim Kit Siang, Malaysia First, Volume Two Bold to The Last Battle'.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad digesa supaya membaca semula definasi bangsa Malaysia dalam ucapannya ketika melancarkan Wawasan 2020.

Saranan itu dibuat oleh vateran DAP Lim Kit Siang berikutan Mahathir baru-baru ini berkata, masyarakat bukan Melayu perlu berasimilasi dengan budaya Melayu bagi membentuk bangsa Malaysia.

“Pada pandangan saya mengenai bangsa Malaysia anda lihat pada 9 kerangka strategik (Wawasan 2020) dan anda akan memperoleh (definasinya) di sana.

“Anda perlu minta beliau (Mahathir) untuk melihat dan membaca semula ucapannya,” kata Kit Siang kepada wartawan.

Beliau ditemui selepas menghadiri forum sempena pelancaran buku biografi keduanya yang bertajuk ‘Lim Kit Siang, Malaysia First, Volume Two, Bold to The Last Battle’.

Dalam podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan oleh Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamda, Mahathir berkata, rakyat perlu mencontohi negara Indonesia dalam pembentukan bangsa Malaysia.

Menurut Mahathir, masyarakat bukan Melayu sepatutnya diasimilasikan ke dalam masyarakat Melayu, untuk membentuk konsep “Bangsa Malaysia” negara yang dibayangkannya.

“Tetapi apabila pendatang ingin mengekalkan identiti mereka dan mempertikaikan pemilikan negara ini untuk menjadi bukan negara Melayu tetapi negara berbilang budaya, itu bermakna kita telah kehilangan negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette