Dr. Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan melancarkan Pelan Advokasi Gula dalam masa terdekat sebagai salah satu daripada inisiatif untuk mengurangkan pengambilan bahan makanan itu dalam kalangan rakyat di negara ini.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, pelan berkenaan juga merupakan usaha untuk menangani penyakit tidak berjangkit terutamanya kencing manis.

Katanya, Pelan Advokasi Gula akan meliputi semua peringkat umur bermula daripada pra-sekolah, sekolah rendah, institusi pengajian tinggi serta individu dewasa dan warga emas.

“Pelan ini kita libatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan ibu bapa, ketua kampung, pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) serta pejabat Parlimen.

“Saya mohon juga kerjasama daripada semua Ahli Parlimen untuk sama-sama kita menjadi negara kita kurang manis,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang bertanya mengenai usaha yang akan dilakukan KKM bagi meningkatkan kesedaran awam tentang bahaya pengambilan gula secara berlebihan.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha memberitahu, KKM kini sedang dalam fasa akhir sesi libat urus bersama persatuan penjaja termasuk Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Putrajaya bagi menyediakan pilihan minuman tanpa gula kepada masyarakat.

Katanya, inisiatif itu adalah bagi menyokong kempen menggurangkan gula dengan slogan ‘Satu Sudu Teh Dah Cukup, Kurang Lebih Baik, Tiada Terbaik’.

“Ini sebenarnya sangat bagus sebab di antara kedai-kedai yang kita lihat buka sampai malam ialah kedai mamak.

“Apabila melaksanakan ini, insya-Allah ia boleh membantu kita dalam advokasi untuk mengurangkan penggunaan gula dalam komuniti dan penduduk Malaysia,” ujarnya.

Pada November tahun lalu lalu media tempatan melaporkan, Malaysia mempunyai jumlah penghidap penyakit kencing manis atau diabetes yang tertinggi di Asia, dan kedua tertinggi di dunia selepas Arab Saudi.

Sementara itu, Dr Zaliha memaklumkan, jumlah perbelanjaan langsung penjagaan kesihatan untuk menangani Non-Communicable Disease (NCD) adalah sebanyak RM9.65 bilion iaitu merangkumi 16.8 pertus daripada jumlah perbelanjaan
kesihatan di Malaysia.

Anggaran itu katanya, dibuat berdasarkan perbelanjaan pada 2017 dan laporan berkenaan telah dikeluarkan pada 2022 melalui The Direct Health-Care Cost of Non Communicable Disease in Malaysia oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Beliau menjelaskan, jumlah perbelanjaan bagi merawat penyakit diabetes adalah sebanyak RM4.38 bilion atau 45.38 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan penyakit NCD.

Ia kemudian diikuti dengan perbelanjaan bagi merawat penyakit kardiovaskular sebanyak RM3.93 bilion atau 40.73 peratus dan RM1.34 bilion 13.89 peratus bagi merawat penyakit kanser.

Tambahnya, perbelanjaan berkenaan adalah merangkumi perbelanjaan kemasukan ke hospital, penjagaan primer di klinik kesihatan, rawatan pesakit luar di hospital, pemeriksaan dan ujian kesihatan serta pembiayaan perubatan. – MalaysiaGazette