Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PEKEMA Ke-42 di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk menaikkan kenderaan import terpakai daripada 35,000 unit kepada 50,000 unit setahun dengan mengekalkan fi import sebanyak RM10,000 setiap unit.

Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin menjelaskan, ini kerana peningkatan kenderaan import akan membawa faedah kepada semua pihak yang terlibat dalam industri kenderaan kereta import dan industri hiliran.

Beliau yakin langkah tersebut akan dapat menambah penjanaan ekonomi melebihi RM2 bilion setiap tahun yang disumbangkan daripada industri kenderaan import kerana mendatangkan hasil fee import kenderaan kepada MITI dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Pada masa sama, kutipan hasil turut diperolehi daripada duti import, duti eksais dan cukai jualan serta menjana pendapatan kepada industri lain yang terlibat seperti perbankan, insurans dan waranti kenderaan.

“Dasar kerajaan yang memperkenalkan Dasar AP Terbuka telah meningkatkan jumlah pemegang AP daripada 100 syarikat kepada 300 syarikat sehingga kini. Oleh itu, peruntukan AP sebanyak 35,000 setahun adalah tidak mencukupi untuk digunapakai oleh keseluruhan ahli PEKEMA.

“Saya amatlah berharap agar MITI dapat meluluskan permohonan untuk menambahkan kenderaan import terpakai sebanyak 15,000 unit kepada 50,000 unit setahun agar dapat memberi ruang yang lebih besar bagi pertumbuhan dalam pasaran kenderaan negara kereta.

“Dari segi peratusan jualan ianya hanya 6.8 peratus daripada TIV sebanyak 725,000 oleh MAA untuk tahun 2023. Selain daripada itu tidak semua kenderaan ahli PEKEMA dapat dijual pada tahun kemasukan kenderaan tersebut,” katanya.

Datuk Nazari berkata demikian pada Mesyuarat Agung Tahunan PEKEMA KE-42 yang berlangsung di KLCC, di sini yang turut dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri,  Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

PEKEMA  telah melantik muka-muka baharu untuk jawatan Timbalan Presiden dan ahli jawatankuasa PEKEMA pada Mesyuarat Agung Tahunan PEKEMA KE-42 tahun ini.

Dalam pada itu, atas dasar kemanusiaan dan kepekaan terhadap nasib rakyat Palestin, PEKEMA akan menyumbang sebanyak RM100,000 kepada Dana Kemanusiaan Palestin yang beramanah dan berintegriti..

Sumbangan tersebut dibuat sebagai tanda solidariti serta semangat kemanusiaan PEKEMA terhadap perjuangan rakyat Palestin, selain membantu mengurangkan penderitaan mereka yang terkesan akibat konflik di Semenanjung Gaza.

“Ia juga merupakan manifestasi sokongan dan solidariti PEKEMA bersama-sama dengan pihak kerajaan dalam usaha membantu misi kemanusiaan atas dasar ihsan, sekali gus memupuk semangat Malaysia MADANI yang menyokong keamanan sejagat,” ulas Datuk Nazari.

Sementara itu, Datuk Zainuddin Abd Rahman yang telah memimpin PEKEMA lebih dari satu dekad mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada jawatan Presiden PEKEMA.

Keputusan itu dibuat demi membuka peluang kepada pemimpin baharu untuk mengambil alih tampuk kepemimpinan dalam persatuan ini.

Selain penstrukturan kepimpinan, PEKEMA juga telah melantik muka-muka baharu untuk jawatan Timbalan Presiden dan ahli jawatankuasa PEKEMA pada Mesyuarat Agung Tahunan PEKEMA Ke-42 tahun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast