KUALA LUMPUR dan Penyanyi dan komposer, Amylea Azizan, 37, selamat bergelar isteri kepada pegawai bomba Singapura, Mohammad Aqbar Mohamad, 40, dengan sekali lafaz pada tarikh yang dirahsiakan.
Dalam majlis tertutup yang berlangsung di rumah keluarga penyanyi itu, Amylea dinikahkan oleh wali hakim.
Finalis Akademi Fantasia musim ketiga itu menerima mas kahwin senaskhah al-Quran dan telekung serta hantaran bernilai RM8,888 yang mana angka itu dipilih sebagai lambang cinta infiniti dua pasangan sejoli itu.
Majlis yang berlangsung secara sederhana itu dihadiri tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat.
Kedua-dua mempelai tampil memakai dua busana rekaan pereka fesyen terkenal, Teruntum Putih Redzuan Alias dan majlis resepsi bakal berlangsung pada 27 Januari tahun depan.
Sementara itu, penyanyi yang popular dengan lagu Kendati itu menzahirkan rasa syukur dirinya sudah pun bergelar isteri tanpa disangka kerana perkenalannya dengan Aqbar atau lebih dikenali sebagai Ash begitu singkat.
“Ternyata Allah itu maha berkuasa dan dalam fikiran saya yang tidak bersedia untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat ini namun saya kini sudah bergelar isteri.
“Perkenalan saya dengan Ash pun melalui media sosial sejak beberapa bulan lalu. Bila sudah selesa berkawan, Ash terus melamar saya.
“Selepas mengamalkan beberapa doa dan solat istikharah, ada petanda baik yang berlaku.
“Dan kemudian dia terus berjumpa dengan keluarga saya. Alhamdulillah, saya tak pernah setenang ini sejak Ash hadir dalam hidup saya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.
Ash pula menyifatkan Amylea seorang wanita yang bijak dan serba serbi tahu mengenai segala perkara, membuatkan dirinya tertarik pada penyanyi itu.
Bagaimanapun katanya, buat masa ini mereka terpaksa melalui kehidupan jarak jauh kerana tugasannya sebagai pegawai Bomba di Singapura.
“Mujur Amylea faham dengan situasi ini dan kami sedang mencari jalan macam mana hendak duduk sekali kerana perkara ini berlaku terlalu pantas.
“Saya jugak tidak sangka perkenalan singkat kami ini diakhiri dengan penyatuan cinta yang indah,” tuturnya.
Sementara itu, bersempena dengan perkahwinan itu, Amylea turut tampil dengan single lagu terbaharu berjudul Panji Putih Buat Pangeran yang didedikasikan khas buat suaminya.
Menurut Amylea, lagu itu dicipta sebagai tanda cinta mereka agar akan kekal hingga akhir hayat dan dapat didengari oleh anak cucu mereka satu hari nanti.
“Lagu ini berkisarkan kedegilan hati saya yang merasakan hidup ini seperti sudah berakhir. Panji Putih itu diibaratkan seperti saya mengalah (bendera putih) dan Pangeran pula sebagai tanda Ash sebagai orang barisan hadapan yang kerjanya saya hormat dan pandang tinggi.
“Ash meminati nilai-nilai tradisional dan saya gabungkan citarasa saya dan dia dengan menghasilkan lagu ini dalam genre keroncong moden,” ujarnya.
Panji Putih Buat Pangeran akan dilancarkan pada penghujung Disember nanti dan peminat boleh mula mendengar ‘teaser’ di media sosial penyanyi itu. – MalaysiaGazette