WASHINGTON – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Rabu menyatakan lebih dua juta penduduk di Semenanjung Gaza tidak menerima bantuan yang mencukupi dan mendesak supaya gencatan senjata sepenuhnya dilaksanakan di wilayah itu.

“Tahap bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan lebih dua juta orang. Walaupun jumlah jumlah bahan api yang dibenarkan masuk ke Gaza meningkat, ia masih tidak mencukupi untuk menyokong operasi asas.

“Orang awam di Gaza memerlukan kemasukan berterusan bantuan kemanusiaan dan bahan api ke wilayah itu. Akses kemanusiaan yang selamat dan tanpa halangan kepada semua penduduk yang memerlukan adalah mendesak,” kata Guterres dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan PBB mengenai situasi di Asia Barat, lapor Agensi Anadolu.

Guterres pada masa sama menyambut baik jeda kemanusiaan baru-baru ini antara Israel dan Hamas tetapi menegaskan tiada tempat selamat di Gaza.

“Rundingan intensif sedang berlangsung untuk melanjutkan jeda kemanusiaan — yang amat kami alu-alukan — tetapi kami percaya kami memerlukan gencatan senjata yang sebenar,” kata Guterres.

Qatar pada Isnin mengumumkan lanjutan jeda kemanusiaan kepada dua hari lagi berbanding tempoh empat hari yang dipersetujui sebelum ini.

Guterres berkata di Gaza, lebih dua pertiga daripada mereka yang terbunuh dilaporkan adalah kanak-kanak dan wanita.

“Dalam tempoh beberapa minggu, jumlah kanak-kanak terbunuh dalam operasi ketenteraan Israel di Gaza jauh lebih ramai berbanding jumlah keseluruhan kanak-kanak yang terbunuh pada mana-mana tahun oleh mana-mana pihak dalam konflik sejak saya menjadi Setiausaha Agung.

“Ia dinyatakan dengan jelas dalam laporan tahunan Kanak-kanak dan Konflik Bersenjata yang saya serahkan kepada Majlis (UNSC) pada setiap tahun,” katanya.

Sejak konflik bermula, Guterres berkata seramai 111 pekerja PBB terbunuh di Gaza.

“Ini mewakili kehilangan kakitangan terbesar dalam sejarah organisasi kami. Biar saya jelaskan: Orang awam, termasuk kakitangan PBB mesti dilindungi. Objek awam, termasuk hospital mesti dilindungi. Kemudahan PBB tidak boleh diserang,” katanya sambil menggesa semua pihak menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Guterres berkata banyak lagi yang diperlukan untuk memenuhi keperluan kemanusiaan di Gaza.

“Gaza memerlukan peningkatan bantuan kemanusiaan, termasuk makanan, air, bahan api, selimut, ubat-ubatan dan bekalan penjagaan kesihatan dengan serta merta dan berterusan. Penting untuk diakui bahawa lintasan sempadan Rafah tidak mempunyai kapasiti yang mencukupi, terutamanya mengambil kira kadar prosedur yang perlahan. .

“Itulah sebabnya kami menggesa pembukaan lintasan lain, termasuk Kerem Shalom dan penyelarasan mekanisme pemeriksaan untuk membolehkan peningkatan bantuan yang diperlukan,” katanya.

Tetapi beliau menegaskan bahawa bantuan kemanusiaan sahaja tidak akan mencukupi.

Beliau berkata penyelesaian dua negara berdasarkan resolusi PBB dan undang-undang antarabangsa, mesti direalisasikan.

“Rakyat Gaza berada di tengah-tengah malapetaka kemanusiaan yang epik di mata dunia. Kita tidak boleh memalingkan muka,” tambahnya.

— BERNAMA-AGENSI ANADOLU