Isham Jalil.-Foto AFFAN FAUZI, 16 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar boleh menjadi perdana menteri sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 jika Pas berjaya meyakinkan UMNO untuk bekerjasama semula.

Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Isham Jalil, Pas memerlukan sokongan UMNO dan parti lain untuk menukar kerajaan.

“Jika Pas tidak berjaya mendapatkan sokongan parti-parti ini, maka ia tidak akan bentuk kerajaan.

“Namun sebaliknya jika mereka berjaya meyakinkan UMNO untuk bermuafakat semula, maka tidak mustahil Kerajaan Perpaduan ini akan tumbang dan digantikan dengan Kerajaan Muafakat dalam masa terdekat.

“Apa-apa pun ini semua bergantung kepada apa yang Pas akan buat selepas ini,” katanya.

Isham membuat kenyataan itu sebagai memenuhi permintaan beberapa pihak mengenai kemenangan Ahmad Samsuri di Parlimen Kemaman dan pandangan penganalisis bahawa beliau merupakan calon perdana menteri bagi Perikatan Nasional.

Satu lagi cara untuk Naib Presiden Pas itu menjadi perdana menteri adalah menunggu sehingga PRU-16.

Katanya, keputusan PRU-16 menunjukkan Perikatan Nasional atau Pas telah berjaya meningkatkan sokongan Melayu daripada 58 peratus pada setahun yang lepas kepada 70 peratus pada pilihanraya negeri dan pilihanraya kecil.

“Ini adalah suatu peningkatan yang sangat signifikan. Sebelum ini saya telah kata yang jika keadaan ini berterusan maka besar kemungkinan mereka (PN atau Pas) akan merampas kesemua 26 kerusi-kerusi UMNO dan 3 kerusi BN di Semenanjung yang sedia ada.

“Dan meningkatkan jumlah kerusi Pas daripada 43 kerusi kini kepada 72 kerusi pada PRU-16 akan datang.

“Ini menjadikan Pas parti yang terbesar dalam Parlimen di Malaysia dan membolehkan Dr Sam menjadi Perdana Menteri ke-11 dalam tempoh empat tahun lagi,” katanya.

Sementara itu Isham turut meramalkan kemungkinan ramai lagi pemimpin Pas dan PN akan ditangkap dan didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan jenayah.

Tindakan itu katanya sebagai memberikan pelbagai tekanan politik ke atas parti tersebut namun ia tidak akan melemahkan mereka.

“Ini kerana Pas adalah parti yang lama dan telah berakar umbi dan mereka berpegang kukuh kepada ideologi dan perjuangan asal mereka yang sekian lama iaitu untuk menegakkan Islam di negara ini.

“Mereka Pas akan terus menang dalam pilihan raya-pilihan raya walaupun beberapa pemimpin mereka didakwa malah tekanan-tekanan kerajaan akan menambah simpati rakyat terhadap mereka.

“Oleh itu saya lihat mereka akan terus mara walaupun beberapa pemimpin mereka ditangkap dan disumbat dalam penjara,” katanya.-MalaysiaGazette