LONDON – Berpuluh-puluh ribu orang berkumpul di ibu negara United Kingdom (UK) untuk satu lagi protes hujung minggu, menyeru agar serangan Israel dihentikan segera dan mengkritik kerajaan kerana tidak mengundi memihak kepada gencatan senjata di Palestin.

Penunjuk perasaan berarak dari persimpangan Bank London ke Dataran Parlimen pada hari Sabtu, memegang sepanduk bertulis “Gencatan Senjata sekarang”, “Tamatkan pembunuhan beramai-ramai” dan slogan popular Palestin: “Dari sungai ke laut, Palestin akan bebas.”

Orang ramai yang berarak itu mengkritik UK kerana tidak mengikut resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menggesa gencatan senjata segera di Gaza, yang telah diveto oleh Amerika Syarikat (AS).

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres telah mencetuskan undian dengan menggunakan Artikel 99 piagam PBB, langkah yang tidak digunakan dalam beberapa dekad, mengatakan “rakyat Gaza sedang melihat ke dalam jurang”.

Artikel itu membenarkan Setiausaha Agung untuk “membawa kepada perhatian Majlis Keselamatan apa-apa perkara yang pada pendapatnya boleh mengancam pengekalan keamanan dan keselamatan antarabangsa”.

Peperangan Israel ke atas Gaza setakat ini telah menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 17,700 rakyat Palestin – lebih 70 peratus daripadanya wanita dan kanak-kanak.

Kempen Solidariti Palestin, Gabungan Hentikan Perang dan Rakan Al Aqsa adalah antara kumpulan yang menyertai perhimpunan London itu, yang dihadiri 100,000 orang, menurut penganjur.

Tetapi Polis Metropolitan London menganggarkan hanya 40,000 yang sertai protes berkenaan, lapor media tempatan. – Agensi