Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Kerajaan Perpaduan yang telah setahun dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mengemudi negara di landasan sangat tepat ketika ini.

Malah menurut Timbalan Perdana Menteri, apatah lagi kestabilan politik kini berjaya membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat.

“Pastinya ada kekurangan namun melalui gabungan Kerajaan Perpaduan yang utuh, kita telah noktahkan kecelaruan politik dan memperlihatkan era perpaduan dalam mentadbir urus negara dengan kerjasama dan kesepaduan semua.

“Insya-Allah, dengan kesepaduan seluruh kepimpinan kerajaan dan kebijaksanaan Perdana Menteri, pastinya lebih banyak kejayaan dapat dilakar pada tahun hadapan dan tahun-tahun mendatang,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Terdahulu, Ahmad Zahid menerusi hantaran di laman sosial itu memaklmumkan, semalam beliau hadir ke Majlis Penutup Program Setahun Bersama Kerajaan Malaysia MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Beliau bersama Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof mengiringi Perdana Menteri menjawab beberapa soalan daripada pengunjung.

Ahmad Zahid berkata, beliau turut menyambut soalan dengan menyatakan bahawa Kerajaan Perpaduan sentiasa mementingkan soal keberhasilan bagi mengukur tahap kompetensi dan kemampuan bagi memberikan yang terbaik kepada rakyat. – MalaysiaGazette