KUALA LUMPUR – Malik Streams Corporation Sdn Bhd sekali lagi tampil menawarkan 200 tempat kepada golongan kurang berkemampuan untuk mengerjakan umrah  pada awal tahun depan melalui Inisiatif Program Rahath Umrah 2024.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, Ketua Pegawai Eksekutif Malik Streams Corporation, Datuk Abdul Malik Dasthigeer berkata, ia bagi memastikan golongan tidak berkemampuan masih mampu ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah umrah.

Katanya, beliau secara peribadi mengadakan pertemuan bersama setiap pemohon yang mencecah angka ribuan namun terpaksa memilih 200 orang yang terbaik dan amat memerlukan tajaannya.

“Bukan senang sebenarnya jika anda lihat begitu ramai yang hadir untuk sesi temuduga itu. Saya sangat tersentuh, terharu malah hampir mengalirkan air mata namun insya-Allah saya telah buat pilihan terbaik kepada yang benar-benar memerlukan.

“Dengan izin Allah, kami telah membuat pemilihan dan menghantar mereka yang terpilih untuk menunaikan umrah kali ini. Insya-Allah saya akan taja lagi, ini sudah masuk tahun ketiga,” katanya.

Rata-rata yang terpilih dalam kalangan ibu dan bapa tunggal serta mereka yang menerima bantuan daripada Baitulmal, fakir miskin dan yang pertama kali ingin ke Tanah Suci.

Kata Abdul Malik lagi, pihaknya juga akan berterusan melaksanakan pelbagai program kebajikan sepanjang tahun terutamanya musim awal persekolahan serta perayaan.

“Selalunya usaha ini kita gandakan ketika musim Ramadan, alhamdulilah Malik Streams berterusan menerima sokongan daripada semua, syarikat dan kedudukan kita juga semakin kukuh, pastinya kita guna peluang untuk pulang balik kepada rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast