JAKARTA- Kementerian Kesihatan Indonesia mengesahkan penemuan kes Covid-19 varian JN.1 di Jakarta dan Batam, wilayah kepulauan Riau.
Antara News melaporkan, Ketua Pengarah Pencegahan dan Kawalan Penyakit, Maxi Rein Rondonuwu berkata, jangkitan varian JN.1 itu masing-masing ditemukan di Jakarta Selatan pada 11 November, Jakarta Timur (23 November) dan Batam (13 Disember).
Varian JN.1 adalah virus korona yang berkait rapat dengan varian BA.2.86.
Ia dijangka memberi kesan terhadap corak penyebaran virus dan keterukan Covid-19.
Tambah Rondonuwu, berdasarkan laporan setakat 18 Disember, terdapat dua kes kematian akibat Covid-19 direkodkan di Hospital Dr Mohammad Hoesin, Palembang dan Tarakan Regional Hospital.
“Salah seorang daripada pesakit berkenaan telah divaksin dua kali dan mempunyai masalah kesihatan manakala seorang lagi tidak pernah mendapat vaksinasi serta mendapat jangkitan kuman di paru-paru,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengesahkan dua kes kematian berkenaan tidak disebabkan varian JN.1.- Agensi