Dagangan produk tenusu itu dibawa masuk dari negara Ireland.

BUTTERWORTH – Padah isytihar dokumen mengelirukan punca lima kontena berisi 100 tan produk tenusu whey powder ditahan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang dalam pemeriksaan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini hari ini.

Pengarahnya, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, dagangan bernilai lebih RM400,000 itu dibawa masuk dari negara Ireland.

Jelas beliau, semakan mendapati pengimport mengemukakan maklumat loji pemprosesan pada barang dagangan berbeza dengan maklumat loji pemprosesan yang dinyatakan pada sijil kesihatan dan permit MAQIS.

“Kita tahan dagangan tersebut selepas pemeriksaan mendapati dokumen yang diisytiharkan tidak tepat dan mengelirukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua dagangan ditahan susulan pihak pengimport mengemukakan dokumen mengelirukan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 iaitu mana-mana orang yang memberikan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian, haiwan, karkas, ikan, produk pertanian, tanah dan mikroorganisma adalah menjadi suatu kesalahan.

“Malah jika disabitkan bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau keduanya-duanya sekali,” kata Muhammad Ikram.

Sehubungan itu, MAQIS mengingatkan semua pemain industri supaya sentiasa mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan kerajaan bagi mengelak berdepan tindakan tegas.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak bagi menjamin industri makanan negara bebas daripada perosak, penyakit dan halal dimakan rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette