Azalina Othman Said dan Fadhlina Sidek mengadakan mesyuarat bersama membenteras jenayah seksual kanak-kanak.

KUALA LUMPUR – Jenayah seksual kanak-kanak menunjukkan trend yang membimbangkan dengan sebanyak 110 kes melibatkan kanak-kanak di bawah umur 6 tahun direkodkan tahun lalu.

Jumlah mangsa yang direkodkan antara 2017 hingga 2023 adalah sebanyak 6,990 dengan 1,570 kes pada tahun 2023 sahaja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, peratus besar mangsa berada dalam lingkungan umur 13 hingga 15 tahun.

Tegasnya  salah satu cabaran besar dalam membenteras jenayah tersebut adalah isu kekurangan pelaporan kes terutamanya oleh kanak-kanak.

“Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia, lebih daripada 80 peratus jenayah seksual terhadap kanak-kanak melibatkan individu yang dikenali oleh mangsa.

“Justeru, seluruh anggota masyarakat memainkan peranan yang penting untuk melindungi anak-anak kita daripada ancaman jenayah seksual yang semakin menjadi-menjadi,” katanya dalam kenyataan.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang hari ini mengadakan mesyuarat mengenai isu tersebut dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM).

Ia turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek  dan wakil  KPM, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Polis Diraja Malaysia.

Pihak berkuasa juga sedang berusaha mewujudkan mekanisme pelaporan yang berkesan dan mesra kanak-kanak dalam menangani jenayah seksual terhadap kumpulan itu.

Bahagian Hal Ehwal Undang-undang akan memeterai Nota Kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memudahkan pelaksanaan.

Kempen kesedaran bersifat menyeluruh melibatkan semua sektor dan agensi berkaitan akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Ia juga akan disebarluaskan di seluruh negara dengan matlamat untuk menekankan tanggungjawab setiap individu untuk melaporkan kejadian penderaan seksual kanak-kanak.

“Seksyen 19 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak [Akta 792] jelas memperuntukkan bahawa kegagalan untuk melaporkan jenayah ini merupakan satu jenayah dan peruntukan ini jelas menggambarkan betapa pentingnya bagi rakyat Malaysia menjadi mata dan telinga Kerajaan dalam menangani isu ini.

“Kempen ini antara lain, akan melibatkan pendekatan Training of Trainers, di mana guru dan pemimpin masyarakat akan dididik untuk mengesan dan melaporkan kes-kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang berlaku dalam persekitaran sekolah secara berkesan,” kata Azalina.-MalaysiaGazette