Gambar hiasan

KOTA KINABALU – Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) berdepan nilai tunggakan mencecah sehingga RM262 juta akibat terdapat pengguna di negeri ini enggan menjelaskan bil air mereka, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Shahelmey Yahya.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata, keengganan pelanggan JANS membayar bil akan menyebabkan kutipan jabatan itu rendah, sekali gus mengakibatkan implikasi kewangan.

Katanya, beliau tidak menafikan ada menerima maklum balas antara lain berkaitan keengganan pengguna membayar bil berikutan tidak menerima bekalan air seperti diharapkan.

“Ada yang mengatakan bayar ’angin’ dan sebagainya, tetapi itu perlu disemak. Sebagai pelanggan Jabatan Air, kita kena bertanggungjawab. Apabila menggunakan air, kena bayar (bil).”

“Setakat beberapa tahun ini, JANS melepasi sasaran (kutipan bil) dalam RM200 juta hingga RM300 juta disasarkan mereka dapat pungut. Jadi (ada) pelanggan sebenarnya membayar dan bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi mudah alih MyJANS di sini hari ini.

Shahelmey berkata, MyJANS adalah inisiatif diperkenalkan JANS bagi memberi kemudahan kepada pelanggannya mendapatkan perkhidmatan dalam aplikasi itu termasuk maklumat bil air, notis dan aduan dengan lebih mudah, cepat dan selamat pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Beliau berkata pendekatan JANS adalah bertepatan dengan aspirasi kerajaan memperkenal dan menggesa pelaksanaan inisiatif pendigitalan ke arah kerajaan pintar bagi menambah baik seterusnya meningkatkan kecekapan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Setiap aduan akan dikendalikan 24 jam sehari.

Ketika ini terdapat kira-kira setengah juta pengguna berdaftar dengan JANS dan yang menggunakan MyJANS ialah seramai 2,000 pengguna.

Mengulas isu air dihadapi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Shahelmey berkata, pihaknya mengambil beberapa penyelesaian jangka pendek termasuk menghantar lori tangki air ke universiti berkenaan, selain bekerjasama dengan bahagian pengurusan teknikal UMS bagi mengawal tekanan air di dalam kampus.

“Kerjasama ini penting kerana kampus UMS besar dan mempunyai permukaan berbukit. JANS akan memastikan air sampai masuk ke tangki UMS, dan pihak UMS pula memainkan peranan dalam pengurusan tekanan air dalam persekitaran kampus,” jelasnya. – BERNAMA