MELAKA – “Hanya sekelip mata, kami nampak bas itu merempuh motosikal yang terbabas di kiri lebuh raya sebelum terbakar,”.
Itu diceritakan saksi nahas bas membawa 28 pelancong yang mengakibatkan seorang pelancong warga India maut, manakala empat lagi cedera selepas bas ekspres dua tingkat dinaiki terbakar dalam nahas di Kilometer 198.0 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara), awal pagi tadi.
Jamaliah Md Isa, 38, berkata, ketika itu mereka sekeluarga sedang dalam perjalanan bercuti dari Melaka ke Pulau Pinang.
“Sebaik tiba dilokasi sekitar pukul 3.50 pagi, kami ternampak sebuah motosikal terbabas ke lorong kiri sebelum tiba-tiba sebuah bas datang dari belakang merempuhnya.
“Waktu itu kami nampak ada percikan api sebelum terus menghubungi talian kecemasan 999 dan meneruskan perjalanan kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Bercerita lanjut, juruukur bahan itu berkata, keadaan ketika itu gelap dan tidak berlampu.
“Saya tak nampak penunggang motosikal berkenaan dan tidak tahu apakah nasibnya kerana cuaca gelap selain kejadian berlaku begitu pantas,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Suprintendan Arshad Abu ketika dihubungi mengesahkan penunggang motosikal berkenaan terselamat kerana sempat bangun dan mengelak ke kiri lebuh raya selepas terbabas.
“Penunggang lelaki berusia 21 tahun itu mengalami luka-luka di badan namun motosikal jenis Honda Dash terbakar bersama-sama bas berkenaan yang membawa 28 penumpang warga Singapura dan India.
“Mangsa pelancong perempuan dari Chennai, Tamil Nadu, India dikenali Yafarah Taj Fakrudin Hussaini, 17, maut ketika sedang menerima rawatan di Hospital Alor Gajah.
“Empat ahli keluarganya yang lain turut cedera termasuk dua parah dan dirawat di Hospital Alor Gajah manakala mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette