PARIS – Bintang bola sepak dunia, Karim Benzema pada Selasa memfailkan saman fitnah ke atas Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerald Darmanin yang pernah mendakwa bekas bintang Real Madrid itu mempunyai hubungan ‘terkenal’ dengan Ikhwanul Muslimin.
Sebelum ini, Darmanin yang merupakan seorang pemimpin politik yang lantang mengkritik Benzema selepas bekas penyerang Perancis dan pemenang Ballon d’Or 2022 memuat naik hantaran di akaun X pada pertengahan Oktober lalu menyatakan sokongan kepada penduduk Gaza.
Dalam hantaran itu, Benzema berkongsi pendapatnya bahawa rakyat Palestin merupakan mangsa ‘pengeboman yang tidak adil’ yang dilakukan oleh Israel sebagai tindakan balas terhadap serangan berdarah Hamas pada 7 Oktober.
Saman yang difailkan Benzema melalui peguam, Hugues Vigier, menyatakan tuduhan Darmanin menjatuhkan maruah dan reputasi pemain tersebut.
Dalam samannya itu, Benzema yang bermain untuk kelab Saudi, Al-Ittihad dan seorang penganut agama Islam berkata, dia tidak pernah mempunyai sebarang hubungan dengan organisasi Ikhwanul Muslimin atau pun berdasarkan pengetahuannya dengan sesiapa yang mengaku sebagai ahlinya.
“Saya sedar sejauh mana populariti saya, saya menjadi mangsa permainan politik, yang lebih memalukan memandangkan peristiwa dramatik sejak 7 Oktober sepatutnya lebih layak mendapat (perhatian) sesuatu yang agak berbeza daripada kenyataan sebegini,” katanya.
Pada Oktober lalu, Darmanin mengeluarkan kenyataan mempertahankan dirinya dengan mendakwa, beliau tidak mempunyai apa-apa niat terhadap Benzema.
Namun begitu, apa yang mengejutkan Darmanin ialah pemain bola sepak itu tidak pula berkongsi sebarang hantaran menyokong Israel kerana terdapat sejumlah rakyat Israel yang menjadi mangsa korban Hamas atau guru Perancis yang ditikam hingga mati oleh seorang bekas pelajar pengajian Islam awal bulan ini.
Darmanin juga merujuk kepada keengganan Benzema untuk menyanyikan lagu kebangsaan ketika bermain untuk Perancis dan pendekatan ‘dakwahnya di rangkaian sosial’.
Aduan itu dikemukakan kepada Cour de justice iaitu satu-satunya mahkamah Perancis yang diberi kuasa untuk mendakwa anggota kerajaan atas kesalahan yang dilakukan semasa menjalankan tugas mereka. – Agensi