KUALA LUMPUR – Seramai 200 golongan kurang bernasib baik yang mendapat tajaan syarikat korporat terkenal, Malik Streams Corporation Sdn Bhd sudah berangkat ke Tanah Suci bagi mengerjakan umrah malam ini.
Turut berlepas ke Arab Saudi bersama kumpulan itu ialah pengasas dan Ketua Eksekutif Malik Streams, Datuk Abdul Malik Dasthigeer bersama keluarga dan warga kerja syarikatnya bagi menunaikan umrah bersama.
Bercakap dengan MalaysiaGazette, Abdul Malik berkata, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran sejak beberapa bulan ini namun bersyukur kerana hasratnya untuk membawa golongan tidak berkemampuan untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci menjadi kenyataan.
Kata ahli perniagaan itu, ia adalah tahun ketiga beliau membawa golongan tidak berkemampuan yang pada awalnya hanya bermula dengan kurang daripada 50 orang namun kini mampu menaja lebih ramai sehingga mencecah 200 orang.
Inisiatif beliau kali ini menelan belanja RM1.8 juta dengan pihaknya menaja tiket penerbangan, hotel serta set kelengkapan umrah seperti pakaian ihram selain wang saku berjumlah 250 riyal.
“Kita sediakan semuanya, mereka boleh fokus untuk tunaikan ibadah di sana tanpa perlu risau apa pun, mereka ini semua sudah seperti keluarga saya dan semua keperluan kita tanggung.
“Ketika proses pemilihan tempoh hari, terus terang saya katakan ia berlalu dalam keadaan cukup beremosi kalau dapat izin Allah saya ingin bawa lebih ramai lagi pada masa depan. Daripada 650 permohonan, kita tapis sehabis baik bagi beri peluang kepada yang benar-benar perlu.
“Kita utamakan yang tidak pernah mengerjakan umrah, benar-benar dari keluarga susah dan kedua dari segi kesungguhan ketika ditemuduga saya tersentuh mendengar kisah mereka yang terlalu inginkan ke Tanah Suci,” ujarnya.
Difahamkan 200 jemaah itu bersama Abdul Malik akan berada di Mekah dan Madinah selama 12 hari sebelum berangkat pulang ke Malaysia hujung bulan ini. – MalaysiaGazette