Johari Abdul Ghani
Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Pasukan petugas 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mempertikaikan hujah Goldman Sachs yang mendakwa obligasinya di bawah jaminan pemulihan aset AS$1.4 bilion (RM6.63 bilion) telah diimbangi oleh denda RM2.8 bilion yang dikenakan ke atas AmBank dan perjanjian penyelesaian AS$1.8 bilion dengan International Petroleum Investment Company (IPIC).

Pengerusinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara ini ditentang oleh Kerajaan Malaysia kerana menegaskan denda yang dikenakan ke atas AmBank dan penyelesaian IPIC tidak termasuk dalam skop aset AS$1.4 bilion dalam jaminan pemulihan.

Lantaran itu, Pasukan Petugas Pemulihan Aset 1MDB sedang mempertimbangkan untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap beberapa bank asing yang memudahkan pemindahan dana berkaitan 1MDB tanpa menjalankan proses pengesahan Kenali Pelanggan Anda (KYC) dengan sewajarnya pada masa tersebut.

Johari berkata, pihaknya begitu komited untuk menangani isu berkaitan 1MDB dengan telus dan memastikan semua pihak memikul tanggungjawab.

“Proses ini memerlukan penelitian yang rapi dan pihaknya mengambil bahagian secara aktif dalam proses timbang tara untuk memastikan penyelesaian yang adil demi kepentingan terbaik rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pertimbangan untuk mengheret bank-bank asing itu hasil mesyuarat Pasukan Petugas Pemulihan Aset 1MDB semalam yang membincangkan status terkini pemulihan aset milik pelaburan kerajaan dan perkara lain yang berkaitan pertikaian dengan Goldman Sachs.

Johari berkata kerajaan telah memfailkan jawapannya pada 8 Nov 2023 kepada permintaan timbang tara Goldman Sachs, dan pihak-pihak itu kini dalam proses bersetuju dengan jadual waktu prosedur.

Perjanjian Penyelesaian yang ditandatangani pada Ogos 2020 antara Kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs memerlukan Goldman Sachs membayar bayaran tunai AS$.5 bilion dan memberikan jaminan pemulihan aset sebanyak AS$1.4 bilion kepada Kerajaan Malaysia.

Namun, perunding dan peguam yang mewakili Kerajaan Malaysia pada masa itu gagal untuk mendapatkan penyelesaian yang adil dan mencukupi daripada Goldman Sachs.

Untuk makluman orang ramai, 1MDB membayar yuran khidmat nasihat yang luar biasa tinggi sebanyak AS$$606 juta kepada Goldman Sachs kerana memberi nasihat bagi terbitan tiga bon berjumlah AS$$6.5 bilion.

Penglibatan Goldman Sachs secara langsung dalam skandal 1MDB telah mengakibatkan ia didenda oleh pelbagai pengawal selia, termasuk Jabatan Kehakiman (DOJ), dengan jumlah AS$$2.9 bilion.

Jumlah denda yang dibayar oleh Goldman Sachs melebihi bayaran tunai yang dibayar kepada Kerajaan Malaysia (AS$$2.5 bilion), walaupun Malaysia mengalami kesan terbesar daripada skandal 1MDB kerana terpaksa membayar AS$$6.5 bilion (jumlah prinsipal) serta faedah sebanyak kira-kira AS$$3.2 bilion dalam tempoh 10 tahun untuk membayar hutang 1MDB.

Dalam pada itu, menurut Johari, Pasukan Petugas 1MDB juga sedang mengkaji sama ada perunding dan peguam yang mewakili Kerajaan Malaysia pada masa itu mungkin telah gagal dalam kewajipan fidusiari mereka atau cuai dalam mencapai Perjanjian Penyelesaian.

Kesalahan sedemikian di pihak perunding dan peguam kerana gagal merundingkan Perjanjian Penyelesaian yang adil dan jelas telah menjejaskan kedudukan Kerajaan Malaysia dalam pertikaian yang berterusan. – MalaysiaGazette