Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan diharapkan tidak senasib dengan RCI buku tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, keadilan tertangguh apabila RCI terhadap buku tulisan Thomas tidak dilaksanakan sepenuhnya.

“Rakyat sudah tentu mengalu alukan keputusan Kabinet menubuhkan RCI Pulau Batu Puteh. Ia sepatutnya sudah lama dilaksanakan.

“Diharap RCI Pulau Batu Puteh tidak tertangguh lama seperti RCI Tommy Thomas. Keadilan tertangguh bila RCI Tommy Thomas tertangguh,” jelas beliau.

Sementara itu Mohd Puad berkata, banyak ‘misteri’ yang perlu dirungkai terhadap tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tidak meneruskan tindakan mempertahankan kedaulatan Batu Puteh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu menegaskan kegagalan membuat siasatan penuh akan menjejaskan imej kerajaan.

“Dalam kes Pulau Batu Puteh terlalu banyak misteri berlaku. Kenapa Tun M tarik balik permohonan semakan keputusan ICJ yang memihak pada Singapura?

“Apa muslihat penarikan tersebut? Apakah Kabinet maklum? Kenapa tarik dengan tergesa gesa selepas jadi PM ke-7? Apa peranan Tommy Thomas?

“Semoga RCI Pulau Batu Puteh tidak hangat hangat tahi ayam. Ia akan menjejaskan imej kerajaan. Negara kehilangan wilayah. Penggadai kedaulatan mesti dihukum,” katanya.

Semalam Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kabinet telah berbincang mengenai penubuhan RCI berkaitan dengan kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

RCI tersebut akan ditubuhkan sebaik sahaja pemasyhuran Yang di-Pertuan Agong yang baharu pada 31 Januari ini.

Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan adalah tiga pulau kecil antara Johor dan Singapura, yang menjadi pertikaian antara dua negara.

Pada 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura manakala Batuan Tengah milik Malaysia.

Hak milik Tubir Selatan pula, yang terletak kira-kira empat kilometer dari Pulau Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Pada 28 Mei 2018, kerajaan PH di bawah pimpinan Mahathir  menarik balik permohonan yang difailkan tahun sebelumnya untuk membatalkan keputusan ICJ yang menganugerahkan bidang kuasa undang-undang Batu Puteh kepada Singapura.

Manakala RCI bagi menyiasat buku tulisan Thomas, “My Story: Justice in the Wilderness” belum ditubuhkan walaupun penubuhannya dipersetujui kerajaan pada 11 Januari lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, berkata kerajaan telah menyatakan persetujuan penubuhan RCI bagi meneliti secara menyeluruh isu berkaitan integriti serta kebebasan kehakiman dan perundangan negara.-MalaysiaGazette