Antara jenis dadah yang dirampas

MELAKA – Polis Melaka menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang dipercayai didalangi dua wanita warga Thailand di sini, Ahad lalu.

Kejayaan itu susulan penahanan seorang lelaki tempatan dan dua wanita berkenaan berusia  25 hingga 27 tahun kira-kira pukul 8.15 malam di sebuah rumah di Taman Saga, Malim di sini.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Md. Nazri Zawawi berkata, serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah itu turut  merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM650,000.

Antara jenis dadah yang dirampas

“Jenis dadah adalah cecair ketamin sebanyak 279,840 mililiter (ml), erimin 5 (551 gram (g), ekstasi (26 g), ketamin (6,734 g), serbuk ketamin (5,250 g).

“Turut dirampas adalah serbuk ekstasi (1,224 g) dan keseluruhan dadah dianggarkan bernilai RM650,369,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Tambahnya, polis turut merampas sepucuk pistol jenis CZ85 H sebuah kereta Proton Saga BLM, serta barang kemas kesemuanya bernilai kira-kira RM39,147 selain wang tunai berjumlah RM803.

“Siasatan mendapati, sindiket ini telah aktif sejak empat bulan lalu dan kesemua dadah dipercayai untuk pasaran tempatan yang boleh digunakan seramai 69,597 penagih.

Peralatan yang digunakan untuk membungkus dadah

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek mendapati mereka negatif dadah namun seorang mempunyai rekod jenayah lampau,” jelasnya.

Md. Nazri berkata, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 4 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960. – MalaysiaGazette