Ketua Pengarah Imigresen Malaysia (DKPI), Datuk Ruslin Jusoh bercakap pada Sidang Media mengenai Depot Tahanan Imigresen Bidor ditutup sementara di Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 02 FEBRUARI 2024.

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengambil tindakan pantas menutup sementara Depot Tahanan Sementara Imigresen di Bidor, Perak berikutan 131 tahanan warga asing melarikan diri ldaripada depot itu, malam semalam

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, langkah itu diambil bagi memastikan siasatan terperinci menegnain insiden tersebut dapat dilakukan.

“Baki 435 tahanan yang tidak melarikan diri semasa insiden itu telah dipindah dari Depot Bidor ke enam lagi depot JIM (Jabatan Imigresen Malaysia) yang lain antaranya di Machap Melaka, Lenggeng Negeri Sembilan, Bukit Jalil Kuala Lumpur, Kemayan di Pahang dan Langkap Perak,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurut Ruslin, dua tahanan yang berada di Depot Bidor akan diusir dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, beliau memberitahu, seramai 2,675 etnik Rohingya daripada 13,145 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang berada di 12 depot seluruh negara diasing kerana mereka dikesan cenderung bersikap agresif terutama ketika berada dalam kelompok besar.

“Kita akan asingkan segera kesemua tahanan Rohingya itu yang mana setiap depot akan mengambil sebahagian daripada mereka dan mereka juga akan diasingkan dan diletakkan dalam blok berasingan,” ujarnya.

Katanya, tahanan terbabit akan dicampur dengan tahanan warga negara lain seperti Indonesia, Thailand dan Bangladesh bagi mengurangkan risiko mereka bertindak agresif. – MalaysiaGazette